Saturday, May 23, 2009

Keputusan bukti BN tepati perlembagaan

Keputusan bukti BN tepati perlembagaan

Oleh Azman Zakaria dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my

SINGAPURA: Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, semalam menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) membuat perkara yang menepati lunas undang-undang.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga menunjukkan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang menepati peruntukan Perlembagaan negeri itu.

“Kerajaan yang ada di Perak adalah kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan boleh terus wujud mentadbir negeri serta berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura, sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.

Najib yang juga Pengerusi BN melahirkan kesyukuran atas keputusan itu dan berkata, BN akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah mentadbir negeri dengan bersungguh-sungguh supaya keyakinan rakyat kepada kerajaan BN di Perak dapat dibawa pada peringkat yang lebih baik.

“Keputusan itu juga menunjukkan kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah bidang kuasa Sultan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berharap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak itu, akan menamatkan kemelut politik di negeri berkenaan.

Muhyiddin berkata, pembangkang harus menghormati keputusan mahkamah itu kerana ia diputuskan badan perundangan negara dan tidak perlu diungkit lagi.

“Saya harap kemelut politik yang berlaku di Perak dan pertikaian status Menteri Besar sudah selesai. Parti pembangkang harus menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka.

“Hormatilah keputusan ini dan berilah peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya tanpa diganggu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama tiga jam di ibu negara, semalam.

Beliau berkata, sebarang kempen yang dilakukan pembangkang untuk mempertikaikan keputusan itu bagi menimbulkan kesangsian rakyat adalah satu kesalahan kerana menghina mahkamah.

“Zambry mempunyai tugas yang berat untuk memulihkan keyakinan rakyat negeri Perak dan membangunkan negeri itu yang sebelum ini dalam keadaan tidak menentu dan mengganggu kelicinan pentadbiran Perak. Ia tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada rakyat.

“Eloklah rakyat diutamakan, bagi peluang kepada kerajaan yang ada mengutamakan rakyat,” katanya.

Muhyiddin juga berharap rakyat Perak menerima keputusan mahkamah itu dengan baik dan memadamkan segala tanggapan yang tidak betul.

Katanya, keputusan mahkamah itu juga membuktikan tindakan Sultan Perak sebelum ini mengikut undang-undang.

Ketika ditanya sama ada BN akan membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana kerajaan yang ada hari ini sudah disahkan oleh mahkamah.





Bukti BN ikut keperluan undang-undang - PM


SINGAPURA 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) telah melakukan perkara-perkara yang menepati keperluan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, keputusan mahkamah rayuan itu menunjukkan bahawa dari segi prinsip, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pun telah membuat keputusan yang menepati peruntukan Perlembagaan Perak.

"Maka, kerajaan yang ada di Perak ini kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan kerajaan BN di Perak ini boleh terus wujud dan mentadbir negeri Perak dan berkhidmat untuk rakyat Perak.

"Saya berasa begitu berpuas hati dan bersyukur di atas keputusan ini," tegas Najib dalam sidang akhbar dengan media Malaysia pada hari terakhir lawatan rasminya ke republik ini hari ini.

Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Rayuan itu, Najib berkata, mahkamah juga mengesahkan bahawa keputusan untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kuasa sultan.

"Keputusan itu mengesahkan ia adalah hak perogatif sultan untuk memutuskannya (sama ada membubarkan atau tidak DUN)," tambahnya.

Dengan keputusan itu, Perdana Menteri berharap, kerajaan negeri BN akan melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya dengan bersungguh-sungguh supaya keyakinan rakyat terhadap BN di Perak dapat diangkat ke peringkat lebih baik. - UTUSAN

No comments: