Sunday, July 05, 2009

Wacana:PemudaUMNO setuju

Wacana:PemudaUMNO setuju

PUTRAJAYA 4 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO telah menyatakan persetujuan secara rasmi menerima pelawaan Dewan Pemuda Pas bagi mengadakan wacana ilmiah terbuka.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, surat rasmi berhubung persetujuan itu telah dihantar kepada Dewan Pemuda Pas semalam.

Menurutnya, persetujuan terbabit dicapai dalam mesyuarat pergerakan itu kelmarin.

''Kita setuju dan perkara-perkara lain yang berkaitan akan dibincangkan secara lebih lanjut selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

''Ia selaras dengan persetujuan bersama sebelum ini untuk mewujudkan satu jawatankuasa urus setia yang akan mengendalikan tentang tajuk, format, peserta, jumlah jemputan, tarikh, tempat, waktu dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Penubuhan Persatuan Belia (Protem) Secara Berkelompok di sini, hari ini.

Majlis itu berjaya mengumpulkan sebanyak 210 pertubuhan belia negeri Selangor dengan lebih 2,000 ahli.

Pada 1 Julai lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka kepada Pemuda UMNO.

Surat tersebut diterima oleh Razali di lobi Parlimen yang disahut secara positif oleh pergerakan itu pada hari yang sama.

Bagaimanapun, Razali memberitahu, beliau berharap wacana ilmiah itu bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa atau cuba merendah-rendahkan imej mana-mana pihak.

Beliau berkata, apa yang penting adalah mencari titik persamaan dalam apa jua isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua belah parti.

''Kita tidak mahu perkara-perkara logistik serta sentimen akan menggagalkan hasrat Pemuda UMNO dan Pas bagi berbincang untuk kebaikan bersama.

''Tetapi kalau Dewan Pemuda Pas nak ikut cakap pemimpin mereka, saya tidak boleh menghalangnya," katanya.

Sementara itu, mengenai laporan media Britain hari ini terdapat sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, Razali berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.

''Saya hanya baca mengenainya dalam surat khabar hari ini tetapi saya berharap usaha itu dapat membantu pembangunan sukan negara ini," katanya.

No comments: