Gejala jual kepentingan orang Melayu berleluasa
KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu dianggap komoditi yang 'sedang laris dijual beli' di pasaran politik dengan parti politik terutama pembangkang menjual masyarakat berkenaan untuk mendapatkan sokongan pihak lain.
Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein, berkata gejala yang menjual kepentingan kaum Melayu itu berlaku secara berleluasa pada zaman yang disifatkannya sebagai zaman pancaroba.
“Kita lihat kepentingan masyarakat Melayu dijual kepada orang lain terutama hak istimewa, sehingga kita seolah-olah menang sorak, kampung tergadai.
“Pada masa sama, fenomena pengasingan antara golongan politik dengan budayawan, ilmuwan dan sasterawan dalam masyarakat Melayu sedangkan dunia politik memerlukan golongan terbabit,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 di Rumah Gapena di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ismail berkata, gejala yang tidak sihat itu menunjukkan tanda kejatuhan bangsa, sekali gus mengharapkan kerajaan untuk prihatin terhadap ucapan dan gagasan golongan penulis, seniman dan budayawan.
“Pada zaman sulit ini, kami cuba membina organisasi intelektual dan menjadikannya sebagai organisasi berwibawa serta berlandaskan kewarasan fikiran,” katanya.
Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 turut mengusulkan untuk menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum beliau mengumumkan keputusan muktamad kerajaan berhubung dasar pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“Jika PPSMI diteruskan, Gapena tetap membantah dan akan terus meminta kerajaan memansuhkannya. Gapena percaya pelbagai masalah boleh timbul jika PPSMI diteruskan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
PPSMI, yang dilaksanakan selama hampir enam tahun lepas, kini dianalisis secara menyeluruh oleh Kementerian Pelajaran bagi menilai implikasi dasar itu dari pelbagai sudut.
Gapena juga, kata Ismail, meminta kerajaan mewartakan kawasan di sekitar Rumah Gapena, Jalan Belfields di sini, sebagai taman penulis, sekali gus memulihara persekitaran kehijauan di kawasan terbabit.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, pertubuhan bukan kerajaan seperti Gapena perlu menjadi suara yang kuat dan berpengaruh sehingga pandangan mereka turut diambil kira oleh arus perdana dan dasar yang akan ditentukan kerajaan.
“Gapena didokong intelektual Melayu yang sudah lama terbabit dalam perjuangan bangsa, budaya dan bahasa, manakala pandangan yang dibangkitkan pula bertujuan untuk kebaikan negara.
“Ia juga bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyebut rakyat diutamakan, sekali gus menunjukkan beliau mahu mendengar pandangan akar umbi,” katanya.
Mohd Puad berkata, kesilapan apabila terpisah daripada golongan intelektual, budayawan dan NGO Melayu yang berpengaruh juga perlu diperbetulkan supaya kerajaan mempunyai pelbagai sumber maklumat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment