Sunday, July 05, 2009

DAP Pusat jumpa Guan Aik - Seng Giaw

DAP Pusat jumpa Guan Aik - Seng Giaw

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pucuk pimpinan DAP Pusat akan menemui wakil rakyat tunggal mereka di Kedah, Lee Guan Aik pada bila-bila masa dari sekarang setelah beliau kini mengisytiharkan dirinya berkecuali dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat dan mendapatkan penjelasan daripada Guan Aik berhubung tindakan beliau itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya tidak boleh komen lagi sama ada hendak menasihati Guan Aik untuk terus menjadi ADUN yang mewakili pakatan pembangkang atau sebaliknya, saya kena tengok alasan yang dibuatnya dahulu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Guan Aik yang juga ADUN Kota Darul Aman mengisytiharkan dirinya berkecuali dalam DUN Kedah serta tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang.

Menurut Guan Aik, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Rabu lalu, DAP Kedah turut membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Seng Giaw berkata, DAP Pusat juga akan menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su dalam masa terdekat berhubung beberapa isu yang menyebabkan DAP Kedah memutuskan untuk keluar pakatan pembangkang.

"Kami mahu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini termasuk melalui cara perundingan dan bertolak ansur.

"Kami perlu mengumpul maklumat daripada semua pihak dan membuat pertimbangan adil berhubung beberapa masalah yang timbul termasuk isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya" katanya.

Menurut beliau, sesebuah pakatan politik tidak akan terkecuali daripada timbulnya perbezaan sesama anggotanya dan pihaknya percaya beberapa masalah yang tercetus dalam pakatan pembangkang dapat diselesaikan dengan baik.

"Kami perlu mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan anggota pakatan pembangkang dalam usaha mengukuhkan pakatan ini untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya.

No comments: