Umat Islam hilang ketuanan jika biar perpecahan - Harussani
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) menasihatkan umat Islam khususnya orang Melayu bahawa mereka akan hilang ketuanan di negara ini sekiranya terus membiarkan perpecahan menular di kalangan mereka.
Sambil mengaitkannya dengan keadaan politik semasa, beliau berkata, keadaan itu tidak harus berlaku kerana ajaran Islam menyarankan supaya semua penganutnya bersatu.
Katanya, semua umat Islam perlu melihat kembali dua perkara utama dalam ajaran Islam iaitu rukun iman yang menyentuh kepada pembentukan sahsiah manakala rukun Islam berkait rapat dengan pembentukan masyarakat Islam.
"Jika umat Islam terlalu suka merebut perkara yang melibatkan kebendaan, maka perpecahan akan berlaku. Keadaan ini dilihat berlaku di Malaysia dan negara lain di seluruh dunia pada hari ini.
"Sekiranya perpecahan ini dibiarkan berlaku sedikit demi sedikit, umat Islam mungkin akan hilang ketuanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran buku 'Rahsia Khazanah Ilmu Pyracosmic' (tenaga alam semesta) terbitan syarikat jualan barangan kesihatan, Pyracosmic mengenai kaedah-kaedah rawatan dan rahsia penyembuhan alam Melayu yang diolah selaras dengan firman-firman Allah S.W.T dalam al-Quran.
Tambah Harussani, perbezaan pendapat tidak salah dan menyifatkan ia merupakan satu rahmat yang dapat membawa kepada pembangunan negara.
Bagaimanapun, perbezaan pendapat daripada pihak-pihak tertentu sehingga membawa kepada perpecahan adalah tidak wajar kerana ia boleh merosakkan masa depan negara.
"Kalau tidak ada perbezaan pendapat, tidak ada pembangunan. Tapi jangan sampai perbezaan itu boleh memberi kesan kepada perpecahan masyarakat.
"Maka sebab itu, perbezaan pendapat ini harus disalurkan melalui kaedah syura (perbincangan) supaya permasalahan itu diselesaikan dengan cara yang baik," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Harussani yang ditanya mengenai tanggungjawab umat Islam menangani penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan tidak membenarkan rakyat negara ini keluar atau melawat negara yang dijangkiti virus itu untuk sementara waktu.
Malah, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan rakyat negara ini yang berada di negara yang dijangkiti virus berkenaan supaya tidak pulang ke Malaysia sehingga wabak itu benar-benar dikawal.
"Dalam sibuk-sibuk (bertindak bagi mengekang penularan wabak itu di negara ini) kita masih juga benarkan orang balik. Itu sebab kes meningkat setiap hari sampai berpuluh-puluh kes sehari.
"Orang Islam yang tak makan babi pun, terkena jangkitan selesema babi," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment