Sunday, July 05, 2009

Wacana satu permulaan amat baik

Wacana satu permulaan amat baik

KUALA LUMPUR 4 Julai - Hasrat Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana bersama Pergerakan Pemuda UMNO merupakan permulaan yang amat baik demi perpaduan orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia membuktikan bahawa UMNO kini semakin liberal kerana sedia bekerjasama dengan parti pembangkang demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Usaha ini amat disokong, walaupun ia hanya program wacana. Ia satu permulaan yang baik selepas cadangan kerajaan perpaduan tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang 3 Lawan 3 di Kolej Metropolitan di sini hari ini.

Saifuddin diminta mengulas pelawaan Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan perbincangan secara ilmiah terbuka bersama Pemuda UMNO.

Katanya, usaha tersebut adalah lebih baik daripada Pas bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pada saya, lebih baik Pas bersama dengan UMNO demi memperkasakan orang Melayu. Tetapi usaha itu sudah tentu tidak akan menjejaskan kaum lain.

"Kita hanya mahu memajukan kaum Melayu dan faedahnya sudah tentu akan dinikmati kaum-kaum lain juga," katanya.

Beliau berkata, Pas mempunyai pengalaman politik yang lebih lama terutama dalam soal mentadbir kerajaan negeri.

"Pengalaman itu lebih sesuai digunakan bersama dengan parti yang juga mempunyai pengalaman sama. Pas lebih baik berkawan dengan UMNO, MCA ataupun MIC daripada DAP," katanya.

No comments: