Sunday, July 05, 2009

Wacana ilmiah Umno, Pas selepas 14 Julai

Wacana ilmiah Umno, Pas selepas 14 Julai

Oleh Azrina Ahzan dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Surat persetujuan ditandatangani Khairy diserahkan Jumaat lalu: Razali

PUTRAJAYA: Wacana ilmiah antara Dewan Pemuda Pas Pusat dan Pergerakan Pemuda Umno akan diadakan selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Katanya, surat persetujuan yang ditandatangani Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk menyertai wacana ilmiah itu sudah diserahkan Jumaat lalu kepada Dewan Pemuda Pas Pusat.

"Wacana ilmiah ini bertujuan membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara terbuka dan ia akan diadakan dengan atau tanpa publisiti.

"Oleh itu, saya berharap tidak ada perkara yang akan menggagalkan hasrat murni kedua-dua pihak ini sama ada dari segi tajuk atau sentimen," katanya selepas merasmikan mesyuarat penaja penubuhan Persatuan Belia Secara Berkelompok Yang Terbanyak/Teramai untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Record di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican, pula berkata pergerakan itu mahu al-islah (kebaikan) dan al-haq (kebenaran) dijadikan asas kepada wacana itu demi kepentingan masyarakat Melayu dan agama Islam.

Katanya, wacana itu perlu menjadi medan untuk mencari titik persamaan demi kepentingan rakyat, bukannya medan untuk menonjolkan kehebatan mana-mana pihak.

Katanya, al-islah dan al-haq sering diperkatakan pemimpin Pas sebagai asas perjuangan parti itu, jika perbincangan itu bertujuan untuk mencari kebaikan ia perlu diadakan atas landasan itu.

"Pemuda Umno sentiasa istiqamah dengan perjuangannya dan sedia bermuzakarah dengan Pemuda Pas atas landasan al-islah dan al-haq. Bukan untuk mencari kemenangan moral politik sebagai asas utama.

"Oleh itu Pemuda Pas perlu menghuraikan segala kekusutan dan menzahirkan keikhlasan mereka untuk berbincang dengan Pemuda Umno yang sanggup menerima wacana itu walaupun tajuk diberikan ada unsur provokasi terhadap Umno, " katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wacana Ilmiah itu dicadangkan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, secara terbuka menjemput Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu dan ia disambut baik Pemuda Umno.

Perkara itu mendapat reaksi positif Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyifatkan cadangan itu satu dakwah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut merestui perbincangan membabitkan dua sayap parti itu.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Subky Yusof, yang menyifatkan wacana itu sebagai satu taktik untuk menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berdebat selepas tiga kali menolak pelawaan Ketua Pemuda Pas adalah tidak berasas.

No comments: