Sunday, July 05, 2009

Tempoh penamaan: SPR teliti perundangan

Tempoh penamaan: SPR teliti perundangan

KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti daripada aspek perundangan, keselamatan dan pandangan parti politik terhadap cadangan memanjangkan tempoh penamaan calon dari sejam kepada dua hingga tiga hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu apabila sesebuah tempat dan pekan mengalami kesesakan lalu lintas sehingga berlaku kerosakan harta benda pada hari penamaan calon.

Menurutnya, tempoh sejam yang diberikan biasanya sehingga pukul 10 pagi amat suntuk dan kerana itu penyokong daripada parti-parti yang meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil atau umum akan menunjukkan 'kekuatan' masing-masing.

"Mereka bukan sahaja memegang sepanduk, bermain muzik dan membuat bising tetapi kadangkala tindakan mereka turut melibatkan kerosakan harta benda awam.

"Sebagai contoh, pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang yang lalu, terdapat 30,000 hingga 50,000 penyokong sesebuah parti mengiringi calon hanya untuk menyerahkan borang ke tempat penamaan calon,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika itu pihak polis telah mengasingkan jalan dan tempat berkumpul sesuatu kumpulan penyokong pada jarak yang agak jauh bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa akan datang jumlah itu mungkin akan mencecah 100,000 orang dan ketika itu amatlah sukar untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Abdul Aziz mengulas cadangan memanjangkan tempoh penamaan calon kepada dua hingga tiga hari bagi mengelak pertembungan para penyokong parti-parti yang meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil dan umum.

Beliau seterusnya berkata, dalam cadangan itu SPR akan menetapkan hari-hari tertentu untuk calon menyerahkan borang bagi mengelak berlaku pertembungan kumpulan penyokong.

Bagaimanapun kata Abdul Aziz, perbincangan mengenai cadangan itu masih di peringkat awal.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun tempoh penamaan calon tersebut dipanjangkan, jika penyokong hendak membuat ancaman ia tetap akan berlaku.

Bagaimanapun kata beliau, tempoh yang dicadangkan SPR itu agak panjang dan sekiranya hendak melakukan perubahan pada tempoh penamaan calon, ia perlu dibincangkan bersama terlebih dahulu.

"Sepanjang pengetahuan saya, perkara itu belum lagi dibincangkan dengan pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

No comments: