Sunday, July 05, 2009

Pas anjur konsert tarik pengundi muda

Pas anjur konsert tarik pengundi muda

KUALA KRAI 4 Julai - Jika sebelum ini Pas mencemuh UMNO kerana membenarkan konsert hiburan secara terbuka, tetapi kali ini mereka turut menganjurkan acara yang sama.

Konsert hiburan alternatif yang diadakan di Padang Majlis Daerah Kuala Krai malam tadi turut menampilkan penyanyi rock, Ringgo yang juga bekas vokalis kumpulan Arrow.

Pada konsert yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kelantan itu, Ringgo menyampaikan lima buah lagu termasuk dua lagu popularnya bersama Arrow iaitu Sendu di Hati Mu Rindu di Jiwaku dan Niat di Hati Tak Nak Berpisah.

Ringgo turut mengambil kesempatan pada konsert tersebut untuk menjual album terbarunya bertajuk Pesan Tok Guru dengan harga promosi RM10 dan masih bertemakan rock serta pop.

Turut menghiburkan penduduk setempat ialah Johan Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan dan pendikir terkenal, Megat Nordin.

Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, konsert itu tidak jauh berbeza dengan program hiburan kerana melibatkan percampuran di antara lelaki dan wanita tetapi lebih bersifat santai bersama keluarga.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, konsert itu diadakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai bahawa Islam membenarkan hiburan tetapi mesti dalam batas-batas tertentu.

"Konsert malam tadi berlangsung dengan baik dan kita ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa ini adalah hiburan alternatif yang dibenarkan dalam Islam.

"Percampuran di antara lelaki dan wanita pada konsert malam tadi memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan yang datang bersama keluarga, suami isteri dan adik dengan kakak atau abang.

"Kalau di tepi-tepi jalan dan tempat yang sunyi dan agak jauh dari sini adalah di luar daripada kawalan kita, tetapi sepanjang konsert ini berlangsung kita selang-seli dengan nasihat dan unsur-unsur dakwah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, ia juga merupakan strategi Pas untuk menarik lebih ramai pengundi muda ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

No comments: