Sunday, July 05, 2009

DAP Kedah ada alasan keluar pakatan - Kit Siang

DAP Kedah ada alasan keluar pakatan - Kit Siang

ALOR SETAR 4 Julai - Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP Kedah mempunyai alasan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu terutama selepas mereka berasakan kerajaan negeri meminggirkan parti tersebut dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, beliau memahami masalah yang dihadapi oleh pemimpin DAP di negeri itu setelah bersemuka dan berbincang dengan mereka kira-kira sejam setengah hari ini.

"Selepas perbincangan dengan DAP Kedah, saya dapati mereka mempunyai sebab untuk membuat keputusan itu. Sama ada saya bersetuju dengan keputusan mereka, itu adalah hal yang lain.

"Tetapi mereka ada sebab dan bagi saya, ini bukan soal DAP tetapi satu perkara bagi pakatan pembangkang sama ada di peringkat Kedah atau nasional," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan ahli jawatankuasa DAP Kedah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan wakil tunggal Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di negeri ini, Lee Guan Aik.

Rabu lalu, Thomas mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan meroboh pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.

Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan bumiputera sebanyak 50 peratus.

Kit Siang berkata, dia akan bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi membincangkan kemelut politik yang melibatkan DAP Kedah dengan kerajaan negeri pimpinan Pas itu.

Katanya, masalah berkenaan perlu diatasi di peringkat negeri kerana ia mampu memberi kesan negatif kepada imej pakatan pembangkang secara keseluruhan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.

"Kalau masalah di Kedah pun tidak boleh diselesaikan, bukan sahaja masyarakat di Kedah tetapi seluruh Malaysia pun akan bertanya sama ada kita mempunyai keupayaan untuk menjadi pilihan," katanya.

No comments: