Sunday, July 05, 2009

SPR kesan 3.7 juta rakyat belum mendaftar

SPR kesan 3.7 juta rakyat belum mendaftar

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan lebih 3.7 juta rakyat negara ini yang sudah layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Setiausahanya, Datuk Ngah Senik.

Beliau berkata, daripada 27,497,240 rakyat negara ini yang direkodkan pada Julai tahun lalu, hanya 11.03 juta berdaftar sebagai pemilih sehingga 31 Mac lalu.

"Kebanyakan mereka gagal mendaftar apabila mencapai usia 21 tahun. Mereka sepatutnya sedar, yang setiap rakyat yang layak mengundi, mempunyai peranan penting untuk menjayakan proses demokrasi menerusi pilihan raya di negara ini.

"Jika semua rakyat yang layak mengundi mendaftar sebagai pemilih, secara tidak langsung ia meningkatkan jumlah pengundi kita kepada lebih 50 peratus daripada keseluruhan rakyat," katanya ketika sesi taklimat media sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha SPR (Operasi), Datuk Nordin Ngah dan Pengarah SPR negeri, Abd Rahim Md Salleh.

Ngah berkata, berikutan itu, SPR akan mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kempen kesedaran untuk menimbulkan rasa tanggungjawab di kalangan orang ramai untuk segera mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, SPR juga memerlukan sokongan media untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung keperluan mendaftar dan memenuhi tanggungjawab itu.

Beliau berkata, SPR sudah mengenal pasti 10 simbol baru sebagai tambahan kepada 20 sedia ada untuk dipilih calon Bebas yang menawarkan diri bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.

"SPR kini sedang menyemak semula simbol yang disediakan untuk pilihan semua calon Bebas. Kita sudah kenal pasti 10 simbol baru tetapi belum diwartakan lagi. Ketika ini, jika ada dua calon Bebas mahu menggunakan lambang sama, mereka perlu mengundi," katanya.

Sementara itu, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai ini, meningkat berbanding pilihan raya umum dan kecil yang diadakan sebelum ini.

"Kita jangka di Manek Urai kali ini, ramai yang akan keluar mengundi kerana saingan sengit di antara parti yang bertanding," katanya.

Ngah berkata, setiap parti yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan hanya dibenar menggunakan 400 kenderaan dengan pelekat yang dikeluarkan SPR sebagai pengangkutan parti untuk membawa pengundi ke pusat pengundian, tidak termasuk pengundi yang datang sendiri.

Katanya, bagi tujuan itu, SPR mengagihkan 1,200 keping pelekat kepada setiap parti bertanding dengan setiap kenderaan diwajibkan menampal tiga pelekat iaitu pada cermin depan dan kiri serta kanan kenderaan.

"Kenderaan yang mempunyai pelekat itu dibenarkan membawa dan menurunkan pengundi dalam zon 50 meter dari pusat pengundian dan di zon sama, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih di meja semakan yang dikendalikan petugas SPR.

"Selain itu, SPR turut menambah bilangan kerusi roda dengan meletakkan lapan buah kerusi roda di setiap pusat mengundi untuk kegunaan petugas mengendalikan warga emas atau pengundi yang memerlukan bantuan," katanya.

Seramai 12,268 pengundi biasa Manek Urai akan mengundi di sembilan pusat mengundi pada 14 Julai ini, manakala seramai 25 pengundi pos pula akan menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai ini.






3.7 juta rakyat tidak mendaftar - SPR

KOTA BHARU 4 Julai - Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.

Katanya, situasi itu membimbangkan kerana masih ramai golongan muda berusia antara 21 dan 39 tahun belum sedar hak mereka sebagai pemilih untuk menentukan masa depan dan kelangsungan proses demokrasi negara.

"Berdasarkan jumlah pemilih yang dikemas kini SPR sehingga 31 Mac tahun ini, hanya 11 juta rakyat yang didapati menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mendaftarkan diri sebagai pemilih apabila tiba kelayakan umur 21 tahun.

"Seramai 3.7 juta lagi rakyat tidak mendaftarkan diri meskipun sudah tiba kelayakan umur untuk mendaftar.

"Situasi ini membimbangkan kerana jumlah itu agak besar dan boleh memberi kesan kepada kelancaran perjalanan proses demokrasi negara," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada media mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ngah berkata, daripada 12,293 pengundi termasuk 25 pengundi pos di Manik Urai, golongan muda berjumlah 5,598 orang, merangkumi 45.5 peratus.

Golongan pertengahan berusia antara 40 dan 59 tahun berjumlah 4,511 orang (36.7 peratus) dan golongan pengundi berumur 60 hingga 79 tahun, 1,937 orang (15.7 peratus) serta golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas berjumlah 247 orang merangkumi 2.01 peratus.

Ngah berkata, 12,197 pengundi berbangsa Melayu merangkumi 99.2 peratus, manakala pengundi Cina (56), India (28) dan kaum-kaum lain 12 orang.

Katanya, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi ditetapkan di Dewan Petra Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di Kuala Krai.

Sembilan pusat pengundian dibuka dengan jumlah saluran mengundi sebanyak 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.

Ngah juga mengingatkan setiap calon dan penyokong parti yang bertanding agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh SPR bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Ngah berkata, SPR menggalakkan parti-parti bertanding tidak membawa penyokong terlalu ramai ketika hari penamaan calon berlangsung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan kesesakan. - BERNAMA

No comments: