Sunday, July 05, 2009

Umno tolak Islam adalah fitnah

Umno tolak Islam adalah fitnah

Oleh Khairul Anuar Samad
bhnews@bharian.com.my

Umum harus menilai usaha parti terap unsur agama dalam ekonomi, pendidikan

KUALA KRAI: Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Umno menolak Islam adalah fitnah besar dan amat tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed.

Sambil menyifatkan apa yang berlaku itu amat mendukacitakan, Mustapa berkata, beliau kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang membawa cerita kononnya Umno menolak Islam, menyeleweng dan membawa ajaran sesat dalam lawatan rumah ke rumah dan ceramah agama di kawasan itu.

Beliau berharap masyarakat Manek Urai tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang itu dan menganggap ia sebagai kempen mereka dengan menyebar fitnah dari rumah ke rumah.

"Kita berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi dalam perbankan Islam, pendidikan Islam dan ekonomi Islam.

"Kita mengakui ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi kelemahan ini sentiasa kita perbaiki. Kita harap rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan fitnah seperti ini," katanya selepas merasmikan majlis khatam al-Quran Parlimen Kuala Krai anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Manek Urai, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Shukri Mohd Salleh.

Mustapa berkata, umat Islam di Manek Urai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan Pas yang menyebarkan dakyah kononnya melihat gambar wajah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudah boleh mendapat pahala.

Beliau berkata, tidak ada nas dalam al-Quran atau hadis yang menyebut hanya dengan tengok wajah seseorang itu akan mendapat pahala.

Katanya, pahala hanya akan diperoleh melalui tingkah laku serta perbuatan yang baik dilakukan oleh umat Islam dan sekiranya ada yang beranggapan seperti perbuatan tengok wajah dapat pahala, ia adalah ajaran sesat.

No comments: