Sunday, July 05, 2009

'Tak mampu selesai isu Kampung Buah Pala'

'Tak mampu selesai isu Kampung Buah Pala'

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengakui kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikan isu Kampung Buah Pala kerana tiada wang untuk mengambil balik tanah seluas 2.6 hektar milik Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudah diluluskan untuk pembangunan.

Tanah di Gelugor itu yang menempatkan kira-kira 300 penduduk, akan dibangunkan oleh Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk membina kondominium mewah dan sederhana dengan nilai pembangunan kasar RM200 juta.

Tanpa menjelaskan nilai pampasan yang perlu dibayar kerajaan negeri jika mengambil balik tanah itu untuk diberikan kepada penduduk, Guan Eng berkata, tanggungjawab kerajaan negeri bukan saja kepada 23 keluarga di Kampung Buah Pala, tetapi semua 1.5 juta warga Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri tidak mampu ambil alih tanah itu untuk membolehkan penduduk terus kekal di sana walaupun kita nak tolong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Petugas Khas Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang, di sini semalam.

Katanya, kerajaan negeri dalam keadaan tersepit kerana penduduk tidak mahu berpindah dan menerima pampasan dan pada masa sama, pemaju pula enggan membayar pampasan.

“Kalau pemaju tidak mahu bayar pampasan dan penduduk pula tidak mahu terima (pampasan), apa kita boleh buat. Suka atau tidak, mahu atau tidak, terima atau tidak, kita mesti akur Mahkamah Persekutuan sudah putuskan tanah itu milik koperasi dan pemaju,” katanya.

Guan Eng mahu Kerajaan Pusat campur tangan menyelesaikan isu berkenaan dengan melakukan pengambilan balik tanah untuk diberikan kepada penduduk selain meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa perkara itu ke Kabinet.

Selain menuduh masalah yang timbul sekarang bermula dari zaman Koh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau juga mendakwa ada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menjadi hero dalam isu ini sehingga memburukkan lagi keadaan.

Isu Kampung Buah Pala semakin rumit selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemaju, sedangkan penduduk mendakwa tanah itu milik nenek moyang mereka sebelum diberi milik kepada koperasi secara tidak jelas.

Mereka diberikan tempoh sehingga 2 Ogos ini untuk berpindah keluar dari penempatan berkenaan sebelum pemaju merobohkan premis di penempatan terbabit untuk projek pembangunan.

No comments: