Sunday, July 05, 2009

Tak berhenti 'sentuh' Nik Aziz

Tak berhenti 'sentuh' Nik Aziz


MUSTAPA Mohamed bersama Pengarah JPP Negeri, Datuk Shukry Mohd. Salleh (kanan) menyaksikan majlis Khatam al-Quran Parlimen Kuala Krai di SMK Laloh, Kuala Krai, semalam.


KOTA BHARU 4 Julai - UMNO tidak akan berhenti 'menyentuh' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin lain parti itu selagi fitnah disebarkan dan kebenaran tidak ditegakkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil tersebut, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan pemimpin Pas telah memesongkan akidah pengikutnya dengan memberikan gambaran yang salah sehingga ada di antaranya menggangap melihat wajah Nik Abdul Aziz sudah cukup untuk mendapat pahala.

Beliau berkata, Pas juga telah menyebar fitnah besar ketika berkempen dari rumah ke rumah pada pilihan raya kecil itu apabila mendakwa UMNO menolak Islam, menyeleweng dan 'ajaran sesat'.

"Mana-mana yang benar kita akui, kita tidak serang peribadi. Siapa saja yang menyebarkan fitnah dan dakwaan palsu maka kita bertanggungjawab memperbetulkan dakwaan itu, kalau tidak masyarakat akan terpesong dan tergelincir daripada ajaran sebenar, ini bahaya kerana akan menggalakkan perpecahan.

"Tengok muka dapat pahala, ini kira ajaran sesat. Pahala itu amal maaruf, pahala itu kita buat kebaikan, kita sembahyang dan buat kebajikan itu pahala. Tapi tengok gambar, tidak ada nas dalam al-Quran atau hadis. Saya tidak tahu, saya bukan ulama besar.

"Itulah contoh, mana-mana yang tidak benar kita wajib bertanggungjawab untuk menegakkan kebenaran, siapa juga. Kita pemimpin dalam masyarakat, ada tanggungjawab masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Beramai-ramai bagi Parlimen Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh di sini hari ini.

Hari ini, akhbar melaporkan Pas percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Nik Abdul Aziz dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.

Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menyerang peribadi pemimpin itu yang membuat pelbagai kenyataan keras mengecam UMNO.

Beliau secara terbuka mengakui ia merupakan strategi parti tersebut kerana penduduk di Kelantan khususnya Manek Urai menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon dan apa yang dikatakan terhadapnya akan memberikan kesan sebaliknya

Malah Wan Abdul Rahim berkata; "Di Manek Urai, saya dengar seorang imam mukim kata dia tengok muka Nik Abdul Aziz dapat pahala, boleh jadi betul atau tidak kata dia, tetapi itu gambaran bagaimana penghormatan terhadap Tok Guru".

Mustapa berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan Islam dalam perjuangannya dan ia menjadi pegangan dalam mentadbir serta menentu hala tuju rakyat serta negara ini.

"Kita mendaulatkan Islam, agama Islam pegangan kita, perlembagaan Islam, Islam agama rasmi. Diharap rakyat Kelantan tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang memfitnah UMNO sesat dan menolak Islam.

"Kenapa ini boleh berlaku, saya hairan juga. Saya solat di masjid, kiri kanan saya macam-macam fahaman politik. Kita bersama sembah Tuhan yang sama, dalam masjid sama, keluar saja masjid macam-macam fitnah ditaburkan, ini amat mendukacitakan," katanya.

Tambahnya, beliau berharap pengundi di Manek Urai tidak mudah terpedaya dengan kata-kata kesat yang dilemparkan pemimpin Pas terhadap UMNO dan kerajaan BN.

No comments: