Sunday, July 05, 2009

Kit Siang akui masalah dalaman PR Kedah

Kit Siang akui masalah dalaman PR Kedah

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my

Kerajaan negeri tidak hirau pandangan pemimpin DAP, banyak isu belum dapat diselesai

ALOR SETAR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam mengakui wujud masalah dalam Pakatan Rakyat di Kedah sehingga mendorong parti itu bertindak menarik diri daripada pakatan berkenaan di negeri ini.

Katanya, sejak kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah dalam pilihan raya umum lalu yang menyaksikan penubuhan kerajaan negeri dikuasai Pas, banyak masalah melanda sehingga menyebabkan DAP merasakan parti itu dipinggirkan.

Sehubungan itu, katanya, beliau memahami tindakan DAP Kedah yang sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat kerana mereka sudah tidak tahan apabila suara mereka tidak didengar.

"Saya memahami tindakan DAP Kedah mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana sejak mengambil alih pemerintahan negeri ini banyak perkara menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

"Masalah yang timbul sudah lama membabitkan beberapa isu, termasuk isu kuota 50 peratus hartanah Bumiputera, isu kuil dan tokong yang belum dapat diselesaikan dan lesen menjual babi di Pasar Alor Setar.

"Masalah yang tidak dapat diselesaikan itu menyebabkan pengundi melihat seolah-olah wakil rakyat DAP tidak berfungsi, sedangkan kerajaan negeri tidak mendengar suara pemimpin DAP dan seperti meminggirkan mereka," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa DAP negeri. Turut hadir, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darulaman, Lee Guan Aik yang juga Setiausaha DAP Kedah.

Kedatangan Lim bertujuan mendapatkan maklumat terperinci mengenai tindakan DAP Kedah menarik diri daripada Pakatan Rakyat yang diumumkan Su pada Rabu lalu, selepas tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan Pas terhadap kaum bukan Melayu.

No comments: