Sunday, July 05, 2009

Barisan Nasional hanya menegur

Barisan Nasional hanya menegur

KUALA KRAI 4 Julai - Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghentam Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi hanya menegur pentadbiran dan keceluparannya menjatuhkan hukum kepada seseorang.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, teguran tersebut terpaksa dibuat kerana ia telah melampaui batas sehingga menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, ia juga bertujuan membela nasib rakyat kerana selama mentadbir negeri ini, Nik Abdul Aziz gagal melaksanakan tugasnya dari semua aspek termasuk ekonomi dan pendidikan.

"Kita hanya tegur pentadbiran Menteri Besar dan keceluparannya menjatuhkan hukum kepada seseorang kerana dalam Islam kita semua pendakwah termasuk nabi.

"Kita bukan hakim yang boleh menentukan siapa masuk syurga, siapa masuk neraka, itu yang kita tegur," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.

Mengulas dakwaan Wan Abdul Rahim bahawa seorang imam mukim berkata kepadanya melihat muka Nik Abdul Aziz telah mendapat pahala, Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan melihat muka alim ulama atau 'tok guru' mendapat pahala tetapi bukannya 'tok guru politik'.

"Saya setuju bila dikatakan melihat tok guru dapat pahala tetapi bukan 'tok guru politik'. Semua tok guru agama seperti Tok Kenali, Tok Abdullah Fahim dan ramai lagi adalah punca ilmu," katanya.

Beliau turut berpendapat gelaran ulama pada Mursyidul Am Pas itu telah terhakis memandangkan beliau lebih mengutamakan politik pakatan pembangkang berbanding perpaduan orang Islam.

"Nik Abdul Aziz lebih pentingkan sifat tamak dalam berpolitik dan disebabkan itu beliau melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO.

"Saya berharap pemimpin UMNO tidak terperangkap dengan cara pemimpin seperti ini," katanya

No comments: