Wed | Nov 21, 07 | 12:47:02 am MYT
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terus-menerus menerima tamparan hebat setelah membuat kenyataan sangup meletak jawatan sekiranya terbukti SPR melakukan penipuan.
Kenyataan itu dilihat sebagai satu kenyataan yang angkuh dan memalukan kerana terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua dalam satu kenyataanya semalam.
Ujar Tian Chua, keputusan mahkamah dalam kes Likas di Sabah dan Lunas di Kedah cukup membuktikan SPR, di bawah pimpinan Abdul Rashid, sememangnya terlibat dalam penipuan dan penyelewengan.
"Keputusan mahkamah mengesahkan hakikat wujudnya pengundi hantu adalah kerana daftar pemilih yang tidak bersih. Abdul Rashid tidak dapat lagi menolak kebenaran ini dan menggunakan'tiada bukti sah' sebagai alasan untuk tidak melepaskan jawatan," katanya.
Selain itu Ketua Penerangan KeADILan itu juga membidas kenyataan Abdul Rashid yang menghina perhimpunan yang dibuat oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini.
Kenyataan Rashid bahawa parti pembangkang tidak harus mengadakan perhimpunan bagi membantah sistem pilihan raya tidak adil dan bebas, adalah salah kerana menjadi hak setiap rakyat untuk berhimpun dan berkumpul, kata Tian Chua.
"Kenyataan Abdul Rashid yang berbau politik untuk menghalang rakyat berhimpun secara aman ini amat mirip dengan amaran polis dan parti pemerintah. Tindakan ini adalah tidak munasabah dan profesional sekali kerana perhimpunan aman di luar bidang kuasa SPR," katanya.
Bagi Tian Chua, Abdul Rashid seharusnya fokus ke atas masalah pengundi hantu seperti pendedahan mengenai kewujudan 8437 pengundi baru di Ipoh Timur dan 17 pengundi hantu dalam sebuah kedai di Sekincan baru-baru ini.
Kenyataan Abdul Rashid bahawa tiada negara di dunia yang mempunyai daftar pemilih dan tiada jaminan ke atas daftar pemilih amatlah tidak bertanggungjawab, ujar Tian Chua.
Pada tahun 2001, Hakim Muhammad Kamil memutuskan mengisytiharkan keputusan pilihan raya Dun Likas, Sabah sebagai tidak sah dan terbatal kerana ada pengundi yang tidak wujud, dikesan dalam daftar pemilih bagi kawasan berkenaan, katanya.
Sementara pada tahun 2005, Hakim Zainol Rashid Hussin memutuskan kesemua 10 tertuduh dalam perbicaraan kes pengundi hantu pilihan raya kecil Dun Lunas dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Sementara itu, Rashid dalam laporan akhbar harian semalam berkata, beliau bersedia melepaskan jawatannya jika terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan berdasarkan kepada tuduhan-tuduhan liar yang hanya memberikan imej buruk kepada SPR.
Beliau yang terlibat mengendalikan enam pilihan raya umum sebelum ini berkata, belum pernah ada satu pihak pun yang datang kepadanya dan membawa bukti berlaku penipuan dalam pilihan raya kecil atau umum.
"Kalau mahkamah menyatakan ada penipuan dalam pilihan raya sebelum ini dan SPR bertanggungjawab, saya akan melepaskan jawatan, begitu juga dengan panel SPR yang lain.
"Jangan pukul SPR tanpa bukti, jangan memperkecilkan SPR. Ada orang yang sebelum ini dalam kerajaan tetapi apabila masuk pembangkang, semua tak kena... masa dia (dalam kerajaan) semua kena. Kenapa tak pinda masa dalam kerajaan? Saya telah melalui semua ini," katanya.
No comments:
Post a Comment