Wed | Nov 21, 07 | 11:26:17 am MYT
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Kemunculan secara bidan terjun dan asing dengan persekitaran pentadbiran kerajaan dan Umno pada tahun 2004 menyebabkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan bergantung harap dengan abangnya, Dato' Azman Hassan yang lebih senior.
Kelemahan MB pilihan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ini telah menyebabkan campur tangan keluarga berlaku dalam banyak peringkat baik dalam Umno mahupun pengurusan kerajaan.
Kerana campur tangan ini Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan beberapa kali telah mendapat aduan dari kakitangan kerajaan bagaimana Azman yang tidak punya jawatan dalam kerajaan tetapi banyak kali masuk campur dalam urusan mempengaruhi, mengubah keputusan keputusan penting yang dibuat, kata jurucakap Pusat Aduan Rakyat, Badrul Hisham Shaharin dalam satu ulasan panjangnya mengenai kemelut pentadbitan Mohamas Hassan baru-baru ini.
Mohamad juga mencatatkan rekod, kali pertama dalam sejarah Umno di mana Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri terpaksa melantik abang kandung sebagai Setiausaha kerana tidak mempercayai tokoh Umno setempat yang lain, katanya.
Ini banyak menerima kritikan dan protes senyap banyak pemimpin Umno setempat, katanya.
Ramai yang tidak berpuas hati kerana Azman kelihatan lebih berkuasa dari Mohamad dalam banyak hal, ujarnya.
Malah rungutan banyak ahli perniagaan di Negeri Sembilan ialah dahulu ketika negeri di bawah pentadbiran bekas MB, Tan Sri Isa Samad dapat tandangan Menteri Besar sudah cukup memberikan jaminan mendapat sesuatu projek.
Bagaimanapun selepas Mohamad Hassan menjadi MB, tandatangan Menteri Besar tidak akan beerti apa-apa tanpa tandatangan abang Menteri Besar, dakwanya.
Harapan mengangkat seorang Menteri Besar tokoh korporat yang kaya untuk mengurangkan korupsi ternyata khayalan kosong kempen peribadi Mohamad, ujarnya.
Adun BN Lenggeng merangkap Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato' Ishak Ismail pernah membangkitkan bagaimana kelemahan Mohamad telah mengundang campur tangan keluarga yang memburukkan keadaan pentadbiran kerajaan dan amalan korupsi dalam Negeri Sembilan, ujarnya.
Ishak bukan sahaja menyatakan perkara ini secara terbuka di media tetapi turut menyebut di dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan mengakibatkan Mohamad gagal menjawabnya sebaliknya cuma mengalihkan isu, ujarnya.
Mohamad atau lebih tepat lagi Azman sedar mengenai kritikan terhadap pentadbiran Mohamad baik dalam sebagai Menteri Besar mahupun Ketua Perhubungan Umno, katanya.
Mohamad memulakan langkah sumbang sebagai Menteri Besar, dengan penuh ego dan sombong beliau tidak mahu duduk di kediaman rasmi Menteri Besar yang pernah diduduki oleh Isa dahulu, katanya.
Beliau bukan sahaja telah mengambil alih rumah tetamu kerajaan yang baru siap ketika itu malah turut membelanjakan RM4.5 juta untuk kerja pengubahsuaian tambahan, katanya.
Kelemahan ini cuba ditutup dengan mengalihkan isu, menyedari imej yang semakin teruk, banyak kempen atau acara disusun untuk menaikkan imej Mohamad, katanya.
Cuma malangnya semua ini memerlukan wang yang banyak dan membazir, hingga kerajaan negeri dan agensi di bawahnya seperti dimaklumkan awal banyak mengalami krisis kewangan.
"Maka demi meneruskan program dan kempen menaikkan imej Mohamad dana baru terpaksa dicari, maka Setiausaha Kerajaan Negeri dipaksa untuk mengambil alih akaun amanah Mufti untuk diletakkan di bawah unit kewangan negeri.Maka dana dalam akaun ini akan mudah digunakan untuk acara menaikkan imej seperti menyampaikan bantuan dan seumpamanya," ujarnya.
Tidak salah dan sememangnya bagus menyampaikan bantuan tetapi selalunya kos menganjurkan acara penyampaikan bantuan lebih besar dari bantuan yang disampaikan, katanya.
Perkembangan terbaru dalam Umno telah lebih menggusarkan kem Mohamad di Negeri Sembilan, pertembungan senyap Kem Abdullah dan Najib mungkin akan membawa kepada pengampunan dan penerimaan Isa Samad semula ke dalam Umno.
Cakap-cakap dalam Negeri Sembilan yang mula meraikan Isa Samad meletakkan Mohamad dalam keadaan tidak selesa bukan satu yang rahsia apabila sememangnya disedari ramai usaha Mohamad menamatkan pengaruh Isa Samad hampir gagal.
Ramai yang membezakan cara pendekatan Isa yang sering merendah diri 'ala orang kampung' dengan Mohamad yang ego dan sombong 'ala korporat'.
Selain terpaksa berdepan dengan banyak kemelut dan permasalahan atas kelemahan sendiri, Mohamad makin kelemasan kerana terpaksa berusaha menyelamatkan seorang lagi tokoh bidan terjun yang menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagiannya, iaitu Khairy Jamaludin yang juga menantu Presiden Umno.
Beliau mencipta lebih banyak musuh kerana terpaksa mempertahankan Khairy yang kini sedang menghadapi protes pemuda -pemuda cawangan dalam bahagian Rembau dimana Mohamad merupakan Ketua Bahagian.
Desas-desus bahawa Mohamad akan 'diangkat ke Parlimen' juga menggusarkan kroni-kroni baru adik beradik Mohamad.
Maka mungkin atas nasihat adik beradik, maka Mohamad mula bertindak untuk menyukarkan jalan pulang Isa Samad.
Maklumat dari Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Negeri Sembilan mendakwa bagaimana pertimbangan politik diambil untuk membeli saham Allson Klana demi menjarakkan tokoh korporat dengan Isa Samad.
Allson Klana dan 'pembangun' Bandar Baru Nilai cukup sinonim dengan seorang tokoh korporat yang sering dikaitkan sebagai 'funder' dana politik Isa Samad, kata sumber.
"Maka Mohamad bertindak nekad membeli Allson Resort dengan nilai RM70 juta. Media cuba menggambarkan bagaimana seorang Menteri Besar menggunakan kemahiran korporatnya membeli Allson Klana tanpa menggunakan wang tunai, tetapi media menggelapkan cerita bagaimana saham Allson Klana ditukar dengan milikan saham di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI)," kata sumber itu.
Maknanya dari menguasai cuma satu syarikat (Allson Klana) pemilik Glen Glamour Sdn. Bhd. memiliki kepentingan dalam banyak syarikat bawah MBI yang tentu lebih menjanjikan keuntungan, katanya.
Perkembangan terkini Gerak Negeri Sembilan sedang mendapatkan beberapa dokumen sokongan berkaitan dan laporan BPR serta pendedahan terbuka akan dibuat dalam masa terdekat.
Ternyata dari apa segi sekalipun Negeri Sembilan semakin melemah dan hilang daya saing di bawah Mohamad. - mks.
No comments:
Post a Comment