Wed | Nov 21, 07 | 9:56:19 am MYT
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Walaupun beberapa pandangan Mufti Perlis mengundang kontroversi dan polemik yang kurang menyenangkan banyak pihak namun teguran dan pendapatnya yang sejajar dengan ilmu wajar dipertimbangkan dan boleh dijadikan panduan oleh umat Islam supaya dapat melaksanakan ajaran agama dengan sebaiknya.
Terbaru Shahibul Samahah Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut memberi pendapatnya tentang demonstrasi yang diadakan baru-baru ini (merujuk kepada himpunan 100,000 rakyat pada 10 November lepas).
Katanya banyak pihak telah menimbulkan kekeliruan dalam isu demonstrasi yang diadakan baru-baru ini dan beliau telah memberikan kenyataan yang umum bahawa masyarakat awam hendaklah memikirkan kesan setiap aktiviti secara masak atau matang.
"Bagi seorang muslim, penglibatannya dalam apa-apa aktiviti pun, hendaklah dilihat kepada persoalan-persoalan seperti apakah tujuan sesuatu aktiviti dan gerakan itu dilakukan,nilaian tindakan tersebut di sisi al-Quran dan al-Sunnah termasuk kesannya terhadap umat Islam dan manusia keseluruhan jika dinilai secara adil dan ilmiah?," katanya yang dipetik dalam laman web drmaza.com.
"Janganlah kita sendiri tidak faham akan tujuan kita melainkan menjadi pengikut semata. Apakah tindakan atau cara yang kita ambil mendapat keizinan syarak dalam erti kata lain tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar?," soalnya lagi.
Malah katanya tuntutan demokrasi tulen juga hendaklah dinilai dari segi Islam, adakah itu bersifat quranik atau sebaliknya dan mempersoalkan adakah dalam dunia ini mempunyai demokrasi tulen?
"Jika keadilan yang dituntut secara yang betul, saya menyokongnya," katanya dalam kenyataan 15 November lalu.
Akhirnya beliau mengingatkan juga para pemerintah, supaya berlaku adil kepada sekelian rakyat selaras dengan ajaran Islam.
"Ketahuilah ketidakadilan itu akan menimbulkan kegelisahan rakyat. Bersikap lunak dengan rakyat dan jangan diganggu hak-hak mereka selagi ia tidak mencemarkan keamanan umum," katanya lagi. - mks.
No comments:
Post a Comment