Wednesday, November 21, 2007

Putera Umno sedia 15,000 tempat belajar

KUALA LUMPUR: Putera Umno menyediakan 15,000 tempat pengajian melalui Program Skim Peluang Kedua khusus untuk remaja berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tercicir dalam pelajaran dalam jelajah di tujuh negeri bermula 1 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata daripada jumlah itu, 5,000 tempat akan dikhaskan kepada remaja di Kelantan kerana hasil kajian pihaknya mendapati ramai pelajar tercicir dan masalah gejala sosial seperti mat rempit serta penyalahgunaan dadah berleluasa di negeri berkenaan.

Antara negeri lain yang menjadi persinggahan jelajah tiga bulan sehingga Februari tahun depan adalah Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Abdul Azeez berkata, jelajah dengan slogan 'Tiada Alasan Lagi!!!' akan disertai 12 kolej swasta yang menyediakan pelbagai program seperti automotif, masakan, paramedik, perhotelan, pembinaan dan pertanian.

"Menerusi perbincangan awal dengan pihak kolej, mereka bersetuju menyediakan 10,000 tempat dan bersedia menambah jumlah berkenaan bagi menyamai sasaran Putera Umno.

"Kebanyakan program yang ditawarkan menjadi pilihan utama kumpulan sasaran dan memenuhi pasaran kerja yang mampu membantu kerajaan mengurangkan kebanjiran pekerja asing," katanya

Beliau berkata demikian selepas taklimat bersama wakil kolej yang menyatakan persetujuan mengambil belia tercicir di kolej masing-masing, di sini semalam.

Skim Peluang Kedua Putera Umno yang diwujudkan sejak Mei tahun ini memberi peluang pendidikan dan kerjaya kepada remaja berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tercicir dalam pelajaran mengikuti pelbagai program meningkatkan pendapatan individu serta mengurangkan gejala sosial.

Bagi memantapkan program itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya akan mengkaji kemungkinan mewujudkan yayasan khas bagi menampung pembiayaan pengajian dan penyediaan program sendiri.

"Kami akan melakukan kajian mendalam selepas melihat keberkesanan program itu," katanya.

No comments: