Wednesday, November 21, 2007

Lancar NCER hanya untuk projek tanam jagung

Helmi Khalid
Wed | Nov 21, 07 | 6:44:28 pm MYT

ALOR STAR, 21 Nov (Hrkh) - Sejumlah RM 4.5 juta dihabiskan untuk majlis pelancaran Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di Kedah baru-baru ini, namun yang mampu dilaksanakan hanya projek tanaman jagung di Bukit Tangga, Changloon seluas seribu ekar.

"Tak ada NCER pun boleh tanam jagung," kata Adun Sala, Ustaz Azizan Abdul Razak.

Itu antara sedutan gambaran apa yang berlaku dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang berakhir hari ini.

Adun PAS-Anak Bukit, Haji Amiruddin Hamzah ketika menyentuh isu yang sama berkata, jawapan anggota Exco mengenai NCER langsung tidak memperlihatkan Kedah mempunyai satu perancangan rapi untuk muncul sebagai penggerak koridor ekonomi itu, kerana gagasan NCER yang dijelaskan wakil kerajaan hanya dipetik dari buku cenderahati majlis pelancaran projek mega itu.

Ketika wakil kerajaan ditanya mengenai apa sebenarnya NCER dan apakah projek yang dirancang untuk dilaksanakan, jawapan yang diberikan adalah NCER mencakupi aspek pembuatan, pertanian, perladangan, modal insan, logistik, infra dan utiliti.

Tidak cukup dengan itu, Exco kerajaan dengan bangganya memberitahu, projek untuk mengatasi masalah banjir di Pendang pun diarah Perdana Menteri agar dimasukkan dalam NCER.

Selain itu, Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) turut 'naik nama' dalam sidang kali ini.

"Itu la... dulu kita dah kata, tak ada duit jangan buat bandaraya, la ni baru tau," teguran sinis Ustaz Azizan gagal dijawab pihak kerajaan.

Didedahkan MBAS mengalami masalah kewangan yang tenat, elaun kerja lebih masa pekerja tertunggak selama enam bulan dan hutang kepada kontraktor mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, sehingga sidang Dun tamat, tidak seorang pun kalangan exco kerajaan bangun untuk menafikannya.

Sementara itu, sikap berdolak-dalih anggota Exco berhubung isu kenaikan harga tiket tambang feri juga melucukan.

Anggota Exco berkenaan, Dato' Chong Itt Chew, mendakwa tidak tahu menahu mengenai desas-desus kenaikan tersebut.

Ustaz Azizan yang bangun mencelah berkata: "Kalau tak tahu, macam mana YB boleh memberi kenyataan bahawa kenaikan tersebut ditangguhkan untuk waktu terdekat?"

Soalan Pesuruhjaya PAS negeri itu membuatkan raut wajah Itt Chew berubah. /tajdid


No comments: