Wednesday, November 21, 2007

'Demokrasi ala Malaysia' jadi sebutan masyarakat dunia

Zaili Muhammad
Wed | Nov 21, 07 | 9:52:32 am MYT

JASIN, 21 Nov (Hrkh) - Di peringkat dunia Malaysia kini dikenali dengan label 'Demokrasi Ala Malaysia' berikutan ketempangan perjalanan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan yang terbaru hak rakyat untuk berhimpun secara aman dinafikan.

ImageMenurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, bahawa selepas Himpunan Bersih baru-baru ini yang menyaksikan sekatan dan tekanan ke atas para peserta, Malaysia telah dikenali dengan label 'Demokrasi Ala Malaysia' yang merupakan satu jenama baru peringkat dunia.

Selama ini, beliau menjelaskan, ketika berceramah di Markas PAS Cawangan Sebatu, di sini, bahawa penerangan berkenaan dasar yang PAS bawa tidak dapat disampaikan kepada semua masyarakat berikutan tiada radio dan tv yang menyiarkan ucapan pimpinan PAS.

"Tiada radio atau tv yang menyiarkan ucapan pimpinan kita, sebab itu baru-baru ini satu badan profesional dunia yang membuat kajian mengenai kebebasan media menyenaraikan Malaysia, dari tangga 96 sebelumnya ke tangga 124 dan ini bermakna semakin teruk sistem pengamalan media di negara ini.

"Sebab itu apabila Al-Jazeera menyiarkan perhimpunan aman Bersih orang yang paling murka ialah Zainudin Maidin, beliau ini tak layak jadi Menteri Penerangan," katanya.

Beliau menambah, kalau tak ada tembakan oleh FRU di Masjid Jamek sudah tentu media arus perdana negara kita tidak akan melaporkan berita perhimpunan tersebut.

"Kita bukan nak lawan dengan polis, pimpinan kata tak boleh bawa senjata kalau boleh sekiranya polis tembak, kita ambil bunga dan letak di muncung senapang sebab kita nak jalan secara aman," ujarnya.

Menurutnya, PAS rela kalah bukan setakat 12 kali 20 kali pun tak apa tapi atas gelanggang yag sama rata, ini yang menyebabkan kita berhimpun baru-baru ini.

Sambil itu, beliau turut menegaskan, bahawa sejarah parti- parti politik yang lama memerintah di dunia kalau kalah tak bangkit lagi.

"Umno ceramah tak reti, Umno tak kaya yang kaya pemimpinnya penyokongnya miskin macam Zakaria Deros rumah dia RM3 juta macam istana dan penyokong Umno minum kedai kopi pun kadang-kadang orang PAS yang bayarkan.

"Kita kena lakukan gerakan yang bersepadu untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang dan kita kena jadi agen penerangan bagi PAS di kedai kopi, rumah kenduri dan beritahu kepada rakyat kalau tak sayang diri kamu sayangkanlah anak-anak kita apa akan jadi 10 tahun akan datang," ujar beliau. - mks.

No comments: