KUALA LUMPUR 20 Nov. – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65, kritikal selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku dari dalam perut di Pusat Perubatan Pantai (PMC) di sini petang ini.
Beliau mula ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) PMC kira-kira pukul 2.30 petang ini apabila tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan tersebut.
Beliau yang pernah menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura pada 2004, dimasukkan ke PMC malam tadi.
Isterinya, Ziela Jalil ketika dihubungi malam ini mengesahkan keadaan terkini suaminya yang kritikal.
‘‘Saya tak boleh nak cakap apa-apa sekarang, minta maaf sangat-sangat,” katanya.
Sementara itu, anak ketiga Megat Junid, Megat Firdouz, 38, berkata, bapanya dimasukkan ke hospital selepas mengalami pendarahan dalam perut.
“Tengah hari ini, doktor menjalankan pembedahan untuk mengeluarkan darah beku dari perutnya.
“Bagaimanapun pendarahan itu tidak berhenti sehingga sekarang, bahkan doktor juga sedang cuba mengesan punca pendarahan itu tetapi keadaan ayah sebenarnya stabil,” katanya ketika ditemui di PMC, di sini malam ini.
Beberapa sahabat lama Megat Junid termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Aziz Shamsudin, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat turut melawat Megat di PMC.
Mengulas lanjut Megat Firdouz berkata, berikutan itu, doktor terpaksa menyalurkan bekalan darah baru bagi menggantikan darah yang keluar tanpa henti itu.
Pada tahun lalu, doktor mengesan ketumbuhan di bahagian kelenjar prostat Megat Junid dan berjaya membuangnya menggunakan kaedah laser.
No comments:
Post a Comment