Thursday, November 22, 2007

PM akan umum senarai ahli Suruhanjaya Diraja

Laporan Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman keanggotaan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video Lingam yang mengandungi perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membincangkan perkara itu.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini tetapi dalam perkara yang besar seperti ini ia perlu diumumkan Perdana Menteri,” katanya ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada Kabinet sudah melantik ahli Suruhanjaya Diraja berhubung kes berkenaan.

Kelmarin, Najib dilaporkan berkata, Kabinet akan melantik anggota Suruhanjaya Diraja semalam bagi menyiasat klip video berkenaan dan Kabinet juga akan membincangkan bidang tugas suruhanjaya itu.

Pembentukan suruhanjaya itu, yang dicadangkan satu panel yang sebelum ini menyiasat kesahihan klip video itu, diumumkan pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri.

Nazri berkata, Kabinet membincangkan secara umum mengenai suruhanjaya diraja itu. Ditanya mengenai siapa dilantik menganggotai suruhanjaya berkenaan, beliau enggan mengulas lanjut.

No comments: