Wednesday, November 21, 2007

PM lemah dan lembap, lewat tubuh Suruhanjaya Diraja - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Nov 21, 07 | 11:06:31 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyelar sikap lemah dan lembap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani kes konspirasi kehakiman yang didedah dalam 'Pita Lingam'.

Dalam sidang medianya di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut sekat sini semalam, Mahfuz menyatakan PAS menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes 'Pita Lingam', tetapi mempersoal kelewatan kerajaan pimpinan Abdullah mempercepat proses mewujudkan suruhanjaya tersebut.

Pertikai kewujudan panel

Mahfuz mempertikai keputusan awal kerajaan yang hanya mewujudkan Panel Bebas yang dianggotai tiga panel yang akhirnya tidak memberi impak dalam menyelesaikan kes 'Pita Lingam'.

ImageBaginya, suruhanjaya tersebut ditubuhkan awal selepas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkannya pada 19 September lalu.

Penubuhan panel bebas hanya membazirkan masa dan wang rakyat tatkala krisis kehakiman yang terdedah dalam kes 'Pita Lingam' membawa aib kepada negara, katanya.

"PAS dan parti politik pembangkang lain, serta Majlis Peguam, sudah berulangkali mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja, sebaliknya Abdullah lebih berminat dengan panel bebas," katanya.

"PAS tidak setuju kerana panel bebas tiada kuasa. Kini terbukti panel bebas tidak boleh menyelesaikan isu tersebut," ujarnya lagi.

Bagi Mahfuz, jika suruhanjaya tersebut ditubuhkan lebih awal, beliau merasakan kes 'Pita Lingam' ini akan dapat diselesaikan lebih awal lagi.

Namun keengganan kerajaan pada peringkat awal menyetujui cadangan pembangkang dan NGO ini menyebabkan isu ini semakin menjadikan Malaysia berada pada tahap yang terus tidak diyakini ketelusannya, katanya.

Minggu lalu,PM mengumumkan penubuhan Suruhanjaya diRaja untuk menyiasat 'Pita Lingam'.

Pada 27 September lalu, kerajaan menubuhkan satu panel khas yang dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor selaku pengerusi, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Mahadev Shankar.

Dalam penyiasatan kesahihan pita tersebut, pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dikatakan menjadi alat kepada pihak Panel Bebas untuk mendapatkan maklumat terutamanya mendapatkan salinan sebenar pita tersebut dari pihak yang mendedahkannya (Anwar) termasuk 'whistle blower' yang kini diketahui ialah adik kepada VK Lingam.

Laporan penuh panel khas itu telah dilengkapkan pada 6 November lalu dan telah diserahkan kepada kerajaan namun hingga kini keputusan penuh penyiasatan kes itu tidak didedah kepada umum.

Lingam dan adiknya berbalah

Terbaru, adik kepada VK Lingam, VK Thirunama Karasu, 49, menegaskan bahawa beliau adalah seorang yang waras meskipun abangnya menuduh beliau sebagai tidak waras.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap abangnya kerana memfitnah dan mencemarkan nama baiknya.

"Saya akan saman Dato' VK Lingam," katanya kepada wartawan di luar ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya semalam.

Ahad lalu, peguam Wee Choo Keong mendedahkan dua laporan polis yang dibuat oleh Thirunama terhadap abangnya yang didakwanya terbabit dalam rasuah dalam bidang kehakiman.

Dalam laporan tersebut, Thirunama mendakwa abangnya itu mempunyai hubungan rapat dengan hakim-hakim yang berjawatan tinggi, dan secara tidak langsung mendakwa Lingam juga terbabit dengan amalan rasuah.

Begitupun, dalam satu kenyataan abangnya dua hari lalu, Lingam mendakwa Thirunama menghadapi masalah delusi.

Lingam berkata, Thirunama menghadapi masalah 'halusinasi', kecenderungan kuat untuk membunuh diri, delusi dan depresi.

Katanya, memandangkan keadaan mental Thirunama itu, maka segala tuduhan adiknya adalah tidak berasas sama sekali.

Dan sebelum ini, Thirunama berkata, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat klip video Lingam.

Thirunama juga menafikan bahawa beliau yang merakamkan perbualan telefon Lingan, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, berhubung pelantikan hakim-hakim. - mks.


No comments: