Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan dakwaan pembangkang kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros untuk mendapatkan tanah kerajaan seluas 14,000 kaki persegi (1,300 meter persegi) bersebelahan banglo mewah di Taman Idaman, Pandamaran, Klang.
Katanya, Pejabat Tanah dan Daerah Klang ada menerima permohonan Datin Zizah Ngah untuk mendapatkan tanah kerajaan itu secara Lesen Penempatan Sementara (TOL) tetapi belum diluluskan.
"Kami ada menerima permohonan kerana semua orang berhak membuat permohonan. Dalam kes ini, kita belum membuat keputusan muktamad kerana perlu meneliti pelbagai perkara," katanya selepas menggulung perbahasan Bajet 2008 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Dr Mohamad Khir berkata, sebelum keputusan dibuat, kerajaan negeri perlu mengambil kira aspek teknikal dan sama ada permohonan itu memberi keuntungan atau sebaliknya.
Sebelum itu, ketika menggulung perbahasan, beliau berkata, kerajaan perlu meneliti permohonan itu dari segi kepentingan politik dan pentadbiran sebelum membuat keputusan.
Beliau menjawab dakwaan ketua pembangkang, Teng Chang Khim yang mendakwa kerajaan negeri meluluskan permohonan isteri Zakaria untuk mendapatkan tanah kerajaan itu awal bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang itu mendakwa, tindakan Zakaria dan isterinya itu bertujuan memperbesarkan banglo tiga tingkat yang berkeluasan 43,000 kaki persegi (kira-kira 4,000 meter persegi).
Teng berkata, kerajaan negeri patut mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat dan pegawai kerajaan yang meluluskan permohonan itu sama seperti tindakan terhadap setinggan.
Sementara itu, Dr Mohamad Khir menafikan pernah mengarahkan kuil Hindu di negeri dirobohkan, sebaliknya hanya mahu struktur bangunan yang dibina secara haram dirobohkan.
Beliau berkata, tindakan merobohkan kuil di penempatan setinggan Rimba Jaya baru-baru ini dibuat selepas pemilik tanah itu mendapat kebenaran mahkamah selepas saman yang dikemukakan 274 penduduk setinggan ditolak.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment