Wed | Nov 21, 07 | 11:14:42 am MYT
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - PAS belum menyatakan hasrat mahupun berbincang tentang kempen memboikot media arus perdana atau pro Barisan Nasional (BN) berikutan laporan tidak tepat yang disiarkan berhubung isu himpunan rakyat 10 November yang lalu.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata sungguhpun PAS sangat dukacita dan kecewa dengan laporan media arus perdana namun langkah-langkah pemboikotan belum lagi dibincangkan mahupun dibangkitkan dalam mesyuarat tertinggi PAS Pusat.
"Cuma kita kesal kerana rendahnya etika kewartawanan media terbabit dan tak sepatutnya menipu ataupun menyembunyikan sesuatu daripada rakyat," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut semalam.
"4,000 yang sertai himpunan? Ramai orang melihat gambar-gambar di akhbar Harakah, di media antarabangsa,internet dan yang berjaya merakam sendiri himpunan tersebut, ini angka yang tidak munasabah," katanya.
Banyak blog siar perangkaan Bukit Aman
Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan para wartawan yang melaporkan kerana percaya wartawan lazimnya menulis berita yang benar tetapi telah 'disunting' dan 'diubah' oleh pihak editor dan atasan yang mahu ianya seiring dan menyokong dasar BN.
"Kalau nak 'manipulate' sekalipun takkan menipu angka-angka dengan jurang yang begitu besar," katanya yang turut kecewa dengan laporan-laporan berat sebelah media tentang parti pembangkang selama ini.
Dilaporkan kebanyakan blog-blog menyiarkan perangkaan oleh Bukit Aman (Polis Diraja Malaysia) yang menyatakan anggaran peserta yang menyertai himpunan tersebut mencecah 138,000 orang.
Dalam sidang media tersebut, Mahfuz juga mengulas laporan media mengenai kenyataan pihak Istana Negara yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong tidak merestui perhimpunan Bersih itu.
"Saya tidak tahu sama ada kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau pegawainya.
"Sepatutnya kenyataan itu perlu dikeluarkan sebelum perhimpunan Bersih diadakan supaya selari dengan amaran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharum; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin," katanya.
Katanya mereka boleh mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Negara dan bukannya seminggu selepas kejadian itu berlaku.
Apapun, katanya, yang penting Yang di-Pertuan Agong setuju untuk menerima memorandum daripada pihak Bersih.
Sebelum ini PAS tidak pernah mendakwa Yang di-Pertuan Agung terbabit dalam perhimpunan aman Bersih atau Tuanku bersetuju di atas kandungan memorandum yang diserahkan oleh Bersih.
Bersih hantar nota bantahan pada editor akhbar
Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir menjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar Isnin lalu bermaksud Bersih terlebih dahulu menerima perkenan dari Baginda untuk menyerahkan memorandum rakyat jelata itu ke Istana Negara pada hari Sabtu berkenaan.
"Bersih berlapang dada atas apa sahaja tindakan yang bakal Tuanku ambil terhadap memorandum tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
"PAS tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa pihak istana, khasnya Seri Paduka terlibat dalam apa bentuk sekalipun, dalam menjayakan perhimpunan Aman Bersih pada 10 November 2007," katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu Klpos.com melaporkan Gabungan untuk Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) akan menghantar nota bantahan kepada semua editor akhbar arus perdana berhubung laporan berat sebelah mengenai perhimpunan aman 10 November lalu.
Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua memberitahu langkah menghantar nota bantahan tersebut sudah diluluskan dalam mesyuarat Bersih.
Selain itu juga, dimaklumkan nota bantahan itu mengandungi rasa kesal Bersih terhadap campur tangan Menteri Penerangan Dato' Zainudin Maidin dalam urusan media.
"Surat tersebut akan dihantar secepat mungkin," kata Tian.
Pembangkang pernah mengadakan kempen boikot media pada tahun 1999 dengan diketuai oleh ahli akademik, kolumnis dan intelektual terkenal Rustam A Sani. - mks.
No comments:
Post a Comment