Wednesday, November 21, 2007

Agih kerusi Pas, PKR hampir selesai

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam peringkat akhir menentukan pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar berkata, ini kerana pengagihan bagi hampir kesemua kerusi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara telah ditentukan dalam pertemuan terdahulu.

‘‘Peratusan pengagihan kerusi yang belum ditentukan tidak sampai lima peratus.

‘‘Kita akan pastikan, apabila berlawan di atas tiket Pas dan PKR, akan berlaku satu lawan satu, kecuali jika ada calon bebas,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pilihan raya umum 2004, Pas hanya berjaya mengekalkan tujuh daripada 27 kerusi Parlimennya manakala PKR hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang Pauh.

Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai butiran pengagihan kerusi kedua-dua parti tersebut termasuk jumlah kawasan yang akan ditandingi.

Namun, beliau berkata, calon Pas dan PKR kali ini akan terdiri daripada golongan muda selaku generasi pelapis.

Ditanya mengenai koridor pembangunan ekonomi yang dilancarkan di seluruh negara, Mahfuz berkata, Pas menyambut baik rancangan itu namun kerajaan perlu memastikan manfaatnya dinikmati rakyat dan bukannya jatuh ke tangan warga asing.

No comments: