KUALA LUMPUR 20 Nov. – Sebanyak 5,000 tempat disediakan untuk belia di Kelantan meneruskan pengajian kemahiran di 13 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih di seluruh negara.
Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peluang keemasan itu dibuka menerusi Program Skim Kedua Tiada Alasan Lagi Putera UMNO yang dilancarkan awal bulan ini.
‘‘Kita akan mulakan temuduga pada 2 Disember ini di empat kawasan iaitu Kuala Krai, Kota Baharu, Machang dan Rantau Panjang.
‘‘Kita akan buat temuduga besar-besaran. Ia dilihat salah satu usaha membanteras gejala sosial selain mengurangkan kadar pengangguran belia Melayu,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ‘Program Tiada Alasan Lagi’ bersama 13 wakil IPTS di sini hari ini.
Program itu memberi peluang kepada lebih 15,000 belia seluruh negara melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif, paramedik, komputer, perindustrian, pembuatan dan perhotelan.
Antara IPTS yang terlibat ialah Cosmopoint University College, SEGi College, Kolej Shah Putra, Allianze College, Imperial College dan Twintech College.
Kata Abdul Azeez lagi, program itu akan berterusan hingga Februari dan diperluaskan ke Terengganu dan Pahang selain Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.
‘‘Kita sasarkan 15,000 belia akan diberi peluang yang sama.
‘‘Ia sekali gus dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah lambakan pekerja asing yang semakin meruncing di negara ini,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment