Wed | Nov 21, 07 | 1:08:51 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Dengan kandungan yang padat dan terkini serta reka bentuk yang ringkas tetapi lebih menarik, laman web yang khusus untuk ahli-ahli Parlimen PAS dilancarkan baru-baru ini.
Boleh dilayari di alamat www.mppas.com, tampilan utama laman web tersebut ialah video persidangan yang dikemaskinikan.
Untuk mengetahui siaran dua video dalam laman web berkenaan, para pengunjung dikemaskinikan dengan jadual siarannya.
Laman web itu juga menyiarkan aturcara persidangan Parlimen yang terkini.
Selain itu, laman web tersebut juga memuatkan berita-berita pilihan terutama yang melibatkan para pemimpin dan ahli-ahli Parlimen PAS, berita-berita terbaru, undian, forum dan pelbagai imej menarik.
Pengendali laman web tersebut, Wan Johari Wan Omar, menjemput semua pihak memeriahkan lagi undian dan forum dalam laman web tersebut.
"Apa yang lebih penting ialah penglibatan para pengunjung dalam ruangan forum yang disediakan kerana idea-idea yang bernas dan berasas besar kemungkinan akan menjadi bahan rujukan ahli-ahli Parlimen PAS untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dengan lebih efektif di dalam Dewan Rakyat.
"Sebab itulah, saya amat berharap semua yang mengunjungi laman web tersebut menyumbangkan idea-idea bernas mereka dalam ruangan forum yang disediakan," kata beliau yang juga penyelaras ahli-ahli Parlimen PAS di Pejabat Agung PAS.
Walaupun begitu, laman web tersebut adalah usaha persendirian Wan Johari sendiri dan sebahagian kos pengendaliannya adalah hasil sumbangan ahli-ahli Parlimen PAS yang bersimpati.
Bagi meningkatkan lagi mutu persembahan laman web tersebut, beliau mengalu-alukan sumbangan dari mereka yang bersimpati.
"Saya tidak mampu mengendalikan laman web ini bersendirian dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan terutama dalam soal-soal teknikal. Oleh kerana perbelanjaannya agak tinggi, saya mengalu-alukan sumbangan dari mereka yang bersimpati," katanya.
No comments:
Post a Comment