Wednesday, November 21, 2007

Kabinet pilih anggota hari ini

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir


BUAT KEPUTUSAN: Najib (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat ke-63 Majlis Tanah Negara di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suboh Yassin.

Jemaah menteri kaji terma rujukan Suruhanjaya Diraja siasat klip video: Najib

PUTRAJAYA: Kabinet akan membincangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja dan pelantikan anggotanya bagi menyiasat kes klip video 'Lingam' hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita juga akan membincangkan terma rujukan dan sebagainya. Selepas itu, kita akan tentukan perlantikan anggota suruhanjaya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-63 di sini semalam.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengumumkan individu yang dipilih selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri itu, Najib berkata: "Mungkin tidak."


Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes klip video itu kerana difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas yang menyiasat kesahihannya baru-baru ini.

Abdullah berkata, tiga menteri dengan latar belakang undang-undang yang dilantik Kabinet untuk meneliti aspek perundangan laporan panel khas itu akan membentangkan pandangan dan saranan mereka pada mesyuarat itu.

Mereka ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.


Panel khas itu ditubuhkan selepas kerajaan memutuskan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu berkenaan boleh menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.

Ia dianggotai dianggotai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor; aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Sementara itu, Najib ketika diminta mengulas cadangan Pasukan Tindakan Hak-hak Hindu (Hindraf) mengadakan perarakan ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi British di ibu negara hujung minggu ini, mengingatkan semua pihak mematuhi undang-undang jika ingin mengadakan perhimpunan.

"Nasihat saya kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang. Maknanya, kalau nak buat perhimpunan kena dapat permit polis, kalau tidak polis akan menentukan tindakan wajar untuk diambil," katanya.

Hindraf dilaporkan mahu mengadakan perhimpunan itu Ahad ini bagi menyerahkan petisyen menuntut pampasan bernilai 4 trilion pound (RM27.7 trilion) daripada Kerajaan Britain.

Mengenai dakwaan Hindraf kononnya Perlembagaan Persekutuan mencabuli hak kaum India, Najib berkata: "Itu pandangan dia...tak semestinya berlaku, itu pandangan dia."

No comments: