Wednesday, November 21, 2007

Bersih mahu Pengerusi SPR henti main 'wayang' dengan rakyat

Intan Abdullah
Wed | Nov 21, 07 | 5:07:15 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menegur Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman untuk tidak mengalihkan isu sebenar yang dituntut rakyat sekarang.

Daripada mengalihkan isu dan cuba berdolak dalih, Rashid sepatutnya menjelaskan kepada rakyat, bagaimana 'hantu-hantu' yang menyokong calon Barisan Nasional boleh wujud di Ijok, Ipoh dan beberapa tempat lagi

Walaupun Malaysia menjamin hak mana-mana pihak dalam menuntut agar SPR menghentikan 'wayang' sekaligus menghapuskan kewujudan pengundi hantu, namun wujud persepsi bahawa SPR sentiasa menjadi alat propaganda BN.

Pengerusi SPR itu, sebelum ini dilaporkan media sebagai berkata, tiada alasan untuknya meletakkan jawatan kerana tuduhan parti pembangkang tidak berasas yakni tidak mempunyai bukti.

"Kalau tak puas hati, samanlah," demikian kata Rashid sebelum ini.

Jurucakap Bersih, Faisal Mustafa dalam responnya berkata, sebelum ini beberapa pihak pernah mengemukakan saman terhadap SPR, tetapi SPR mohon untuk menolak dan mengetepikan saman tersebut di mahkamah.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Bersih tidak dapat menerima 'cubaan' Abdul Rashid untuk mengalih perhatian berkaitan dengan rasuah pilihanraya yang hanya memfokuskan kepada 142 kertas undi yang hilang di Ijok dan melupakan skandal-skandal yang lebih besar dalam pilihanraya kecil di Ijok pada 28 April lalu, iaitu:

a) Lebih daripada 50 pengundi yang telah mati terdapat nama mereka di senarai pemilih di mana 12 daripada mereka yang kesemuanya Melayu dari pusat pengundian Jaya Setia, yang bangkit dari kubur mereka dan pergi mengundi. Undi sokongan untuk calon pembangkang tewas 18% undi mereka di daerah itu.

b) Tiga pengundi cina di Pekan Ijok mendakwa undi mereka dicuri oleh orang yang menyamar, yang berada di pusat pengundian sejak awal lagi. Penolakan undi terhadap BN telah pun diramalkan dan dibuktikan di daerah pengundian yang majoriti berbangsa Cina.

c) Seramai 23 pengundi didaftarkan tanpa kad pengenalan.

d) Seramai 32 pengundi yang berusia di antara 100-132 tahun masih terdapat nama mereka di dalam senarai pemilih.

Bersih juga menekankan bahawa keadaan yang luar biasa itu bukanlah kes-kes yang terpinggir, tetapi memaparkan suatu corak yang sistematik.

Mereka turut mengemukakan kes terbaru yang diperolehi di Ipoh Timur (kerusi Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di mana beliau menang dengan undi majoriti 9,774) menunjukkan peningkatan 84,463 pengundi berdaftar.

"Masalah tersebut lebih daripada penipuan dari aspek gerrymandering (memberi fakta-fakta palsu supaya mendapat gambaran yang salah). Malahan integriti yang dipaparkan oleh senarai pemilih di Ipoh Timor menunjukkan integriti SPR," ujar AJK Bersih, Dr Dzulkefly Ahmad. Sebagai contoh, seorang blogger tempatan, Ahirudin Attan (Rocky's Bru) yang tidak pernah mendaftarkan dirinya dengan SPR sebagai pemilih mendapati nama beliau sebagai seorang pengundi di Taman Rapat Setia sejak 1999. Begitu juga dengan L.L Wong, yang tidak pernah mengundi sebagai pengundi, baru-baru ini mendapati nama beliau sebagai pengundi di Johor Bahru sejak 1990.

"SPR telah cuba mempersalahkan perkara ini terhadap seorang pembantu pendaftar yang menggunakan sistem pengundian sebelum Julai 2002 tetapi gagal untuk menampilkan sebarang nama yang menyokong dakwaan mereka." jelasnya.

Bersih mendakwa tindakan tersebut ternyata gagal kerana segala bentuk keadaan yang luar biasa akan diperbaiki dan tidak diulangi sejak sistem pendaftaran baru diperkenalkan pada tahun 2002.

Ia disusuli penyerahan petisyen 100,000 orang awam kepada Yang DiPertuan Agong pada 10 November adalah untuk menyatakan, antara lain, tuntutan sah mengenai senarai daftar pemilih yang perlu dibersihkan supaya semua 'hantu' dapat dihapuskan sebelum pilihanraya umum yang akan datang.

Bersih juga menolak tanggapan sebelum ini oleh SPR berhubung kehilangan 142 kertas undi sebagai "kesilapan manusia" yang tidak relevan kepada persoalan yang lebih besar iaitu undi pos.

"Sekiranya 142 kertas undi boleh dijelaskan sebagai "kesilapan", bagaimana pula dengan kehilangan kertas-kertas undi di Lumut yang mempunyai jumlah yang tinggi iaitu 2,763 pada tahun 1990, 3,487 pada tahun 1995, 8,176 pada tahun 1999 dan 5,486 pada tahun 2004?" ujarnya.

Abdul Rashid juga menurut Bersih sebelum ini memberi tanggapan kehilangan kertas-kertas undi tersebut dikaitkan dengan undi pos.

"Bagaimana rakyat boleh menerima proses pilihanraya yang dijalankan (oleh SPR) apabila ribuan kertas undi disalah urus dalam setiap kali pilihanraya dijalankan? Adakah Abdul Rashid tidak peka kepada integriti dan kepercayaan yang diberikan terhadap suruhanjaya di bawah pengurusannya?" tambahnya lagi.

Bersih mengambil contoh kes yang berlaku di Ipoh Timur, 3,208 daripada 8,463 peningkatan dalam daftar pemilih bagi pilihanraya akan datang adalah pengundian secara pos, pada 2004, 92.9% daripada 4,807 undi pos di Bukit Bintang telah mengundi BN.

"Sudah tentu orang tempatan di kawasan tersebut cuba memikirkan di manakah kesemua pegawai polis dan anggota tentera tersebut yang berpengkalan di ibukota 'bersembunyi', memandangkan angka yang besar itu tidak mendedahkan lokasi mereka," demikian kenyataan tersebut.

Bersih menegaskan bahawa bahawa pengundian 'pos domestic' juga perlu dimansuhkan. Pemantauan proses pengudian adalah tidak perlu kerana pengundi-pengundi pos boleh diarahkan untuk mengundi dengan cara biasa di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai. - mr


No comments: