Wednesday, October 31, 2007

Imej BPR dan Peguam Negara tercalar: PAS desak Suruhanjaya Diraja dibentuk

Ahmad Tajdid
Wed | Oct 31, 07 | 3:51:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - PAS memandang berat kenyataan akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato' Pahlawan Ramli Yusuff berhubung kredibiliti dan kegagalan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Jabatan Peguam Negara untuk melindungi para saksi dalam kes berprofil tinggi membabitkan seorang penjenayah, Goh Cheng Poh @ Tengku.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan akhbar Ramli itu menimbulkan persoalan tentang kredibiliti BPR, perisikan polis, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam mengendalikan dakwaan ke atas Goh Cheng Poh @ Tengku yang terlibat dalam kegiatan jenayah di Johor.

"Malah suspek yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembak menembak yang mengorbankan rakannya telah diletakkan di bawah tahanan dan dibuang daerah sebanyak dua kali sebelum ini.

"Apa yang menjadi persoalan, dalam sidang akhbar Pengarah JSJK itu, seluruh pegawai JSJK turut hadir seolah-olah mewakili sikap yang diambil oleh jabatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang di mel-e ke pejabat Harakah.

Mujahid juga hairan bagaimana siasatan rasuah membabitkan Ramli yang didakwa memiliki harta bernilai RM27 juta dibawa ke pengetahuan umum sebelum siasatan selesai kerana ia pastinya mengganggu proses siasatan.

"Malah dakwaan Datuk Ramli terhadap BPR dan Jabatan Peguam Negara membayangkan wujud satu konflik kepentingan dalam mengendalikan kes Goh Cheng Poh @ Tengku," katanya.

Pengakuan Ramli bahawa beberapa pegawai JSJK telah disiasat oleh BPR berdasarkan fail-fail sulit kes itu yang mengandungi nama pemberi-pemberi maklumat sulit kepada Jabatan Peguam Negara, adalah sesuatu yang amat serius.

"Jika BPR dan Jabatan Peguam Negara gagal melindungi saksi-saksi dalam siasatan berprofil tinggi membabitkan polis, bagaimanakah kerajaan termasuk Perdana Menteri boleh memberi jaminan untuk melindungi saksi-saksi dalam kes membabitkan orang awam seperti skandal pita Lingam?" soal beliau.

Mujahid juga memandang berat kritikan Ramli terhadap Jabatan Siasatan Jenayah dan BPR yang telah 'membersihkan' Goh daripada tuduhan jenayah tanpa mengambil kira hasil siasatan yang dikemukakan JSJK, walaupun siasatan pihaknya dibuat atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Semua petunjuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Pengarah Bahagaian Sisatan Jenayah Perdagangan kelmarin menjadikan rakyat dari semua kaum di negara ini merasa sudah tidak selamat lagi kerana seolah-olah pihak yang disebut-sebut bermain tarik tali sesama mereka dalam mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi," ujarnya.

Episod ini, tegas Mujahid membuktikan wujud kelompok penguasa yang sepatutnya menjamin keselamatan awam telah hilang maruah hingga sanggup menjadi hamba kepada golongan penjenayah dan perasuah.

"Pemberi maklumat juga tidak selamat walaupun dari pihak polis sendiri. Kalau pihak polis yang memberi maklumat merasa tidak selamat apatah lagi rakyat biasa?

"Apakah ada ugut mengugut antara pihak yang disebut-sebut? Apakah dakwaan pengumpulan harta berjumlah RM27 juta ke atas Pengarah JSJK semata-mata kerana usahanya menangkap penjenayah yang paling dikehendaki?

"Apa pula kaitan kes ini dengan KPN? Timbalan Menteri Dalam Negeri? Mengapa peguam persendirian bernama Rosli Dahlan ditangkap pada Hari Raya baru-baru ini atas dakwaan rasuah oleh BPR; sedangkan peguam persendirian tersebut menyediakan afidavit untuk JSJK kerana Ramli mendakwa pihak Penasihat Undang-Undang KDN tidak membantunya dalam menyediakan afidavit untuk mendakwa Goh Cheng Poh?" soal Mujahid.

Sehubungan itu, PAS tegas Mujahid menuntut kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja untuk membuat satu laporan penuh berhubung dakwaan Ramli.

Laporan Suruhanjaya itu, kata Mujahid perlu dibentang di Parlimen bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap polis, BPR dan KDN.

"Isu ini benar-benar mengancam keselamatan awam dan ia membayangkan seolah kesemua institusi ini dan Kementerian Dalam Negeri betul-betul lemah dan mudah menjadi umpan golongan pengkhianat negara dari penjenayah dan perasuah-perasuah," ujarnya./tajdid

No comments: