Wednesday, October 31, 2007

Bukan tempat raih populariti

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemimpin UMNO diingatkan supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti minggu depan sebagai medan mencari pengaruh atau meraih sokongan untuk dicalonkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak yang berhasrat berbuat demikian harus membatalkan niat tersebut kerana ada agenda yang lebih penting dan perlu diberi tumpuan sepanjang perhimpunan itu.

Dalam suasana pilihan raya semakin hampir, katanya, semua pemimpin di semua peringkat perlu lebih fokus dalam setiap perbahasan dan bukannya mengambil kesempatan menonjolkan diri.

‘‘Kalau itulah niat mereka (meraih sokongan) bagi saya mereka telah melakukan satu kesilapan. Pemilihan parti kita masih jauh dan masih banyak lagi agenda yang harus diberi tumpuan.

‘‘Antara yang terpenting ialah persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya akan datang,’’ katanya selepas menyempurnakan majlis penutup Cabaran Teknologi F1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat pemimpin atau perwakilan yang dikatakan akan menjadikan perhimpunan minggu depan sebagai platform meraih populariti untuk dicalonkan pada pemilihan parti akan datang.

Hishammuddin berkata, kemungkinan itu tidak mustahil berlaku kerana terdapat segolongan pemimpin yang terpaksa melepaskan jawatan kerana sudah melepasi had umur.

Beliau berkata, seperti Pemuda, kira-kira 57 peratus daripada pemimpin pergerakan itu telah melebihi had umur dan barisan pemimpin pelapis akan menggantikan mereka.

‘‘Saya nasihatkan kepada pemimpin pelapis agar tidak gopoh dan mereka harus bersabar. Sekarang bukan masanya untuk kita memikirkan soal jawatan sebaliknya kita harus fikirkan cara mana untuk kita mengukuhkan lagi parti kita.

‘‘Kita harus sedar bahawa usaha untuk kita menguatkan parti seperti yang ada pada hari ini bukannya mudah. Sejak krisis politik pada tahun 1999, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk kita menguatkan semula parti,’’ tambahnya.

No comments: