Wednesday, October 31, 2007

SPR tidak patut buat garis panduan baru tanpa runding pembangkang

Helmi Khalid
Wed | Oct 31, 07 | 4:25:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - PAS bersedia mengikuti garis panduan baru yang bakal diperkenalkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) tetapi tidak kepada perkara yang menguntungkan Umno dan Barisan Nasional.

Demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar mengenai pengumuman SPR yang akan memperkenalkan beberapa garis panduan mengenai saiz dan tempat khas pemasangan poster calon dan parti ketika kempen Pilihan raya Umum ke 12 nanti.

Menurut Mahfuz, bagaimanapun perkara tersebut mestilah dibincangkan dan mendapat persetujuan semua parti sebelum ia diperkenalkan, SPR tidak berhak memperkenalkan sesuatu yang baru tanpa pengetahuan parti-parti politik.

Menurut Mahfuz, PAS tidak pernah engkar kepada arahan, sebaliknya pelbagai kesalahan hanya berlaku di pihak petugas Umno dan Barisan Nasional.

"Kalau dia nak perkenalkan sesuatu peraturan baru, SPR mesti panggil parti politik untuk membincangkannya, dia tak boleh pandai-pandai dan SPR tak boleh buat hanya untuk kepentingan parti pemerintah," ujar beliau.

Menjawab pertanyaan wartawan Mahfuz berkata, memang berlaku dalam pilihanraya 2004, petugas BN melanggar peraturan baru mengenai larangan membina bangsal panas, sekalipun dibuat laporan, sehingga hari ini SPR tidak mengambil sebarang tindakan.

Mahfuz berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Pejabat PAS Pusat, di sini tengahari tadi.

Beliau turut mencadangkan agar SPR mengkaji untuk membenarkan semua parti politik berkempen di tempat-tempat tumpuan umum seperti pasaraya, taman rekreasi atau pasar semasa kempen pilihanraya. - mr

No comments: