BANGKOK, 30 Okt – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyentuh mengenai persiapan pilihan raya umum dalam ucapan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu bulan depan.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Abdullah juga dijangka memberi penekanan kepada pentingnya semua komponen Barisan Nasional mengeratkan kerjasama sedia ada bagi menimbulkan “mood” yang sesuai supaya BN mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pilihan raya umum nanti.
“Sudah pasti ucapan dasar presiden akan menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya kerana kepimpinan parti telah mengingatkan semua ahli tentang hal ini sejak tahun lepas,” katanya selepas melawat Royal Citralada Projects di Istana Chitralada di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, Abdullah juga dijangka mengingatkan semua anggota UMNO mengeratkan kerjasama dengan parti-parti komponen, menyemak pendaftaran pemilih, menangani masalah yang berbangkit dan mengotakan janji-janji pilihan raya lepas yang belum disempurnakan.
Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak menyiarkan secara langsung perhimpunan itu dari 5 hingga 9 November ini, beliau berkata media massa masih boleh melaporkan perbahasan sepanjang perhimpunan itu yang dijangka dihadiri lebih 2,500 anggota perwakilan dari 190 bahagian UMNO.
Beliau berkata walaupun tidak ada arahan untuk menyekat topik perbahasan, kepimpinan UMNO tidak mahu perhimpunan itu dijadikan tempat untuk membidas kaum lain.
“Satu perkara asas ialah jangan membuat tuduhan sembarangan yang boleh menyebabkan pandangan bahawa UMNO dan orang Melayu tidak terbuka atau tidak mengambil kira sensitiviti bangsa lain,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata apabila seseorang pembahas membangkitkan nasib orang Melayu, perbandingan dengan kaum-kaum lain tidak dapat dielakkan tetapi ia hendaklah dibuat secara rasional dan berniat baik.
Yang penting katanya ialah untuk menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa UMNO sebagai teras BN berjuang untuk membina negara yang kukuh untuk semua kaum dan bukannya berfikiran sempit atau menyokong satu pihak sahaja.
“Sebab itu perhimpunan ini merupakan tempat untuk mengingatkan satu sama lain bagaimana parti-parti BN perlu bekerjasama lebih rapat dan tidak menyinggung perasaan yang lain.
“Ia perlu mencerminkan UMNO, sebagai teras BN, masih kukuh, hubungan padu dengan semua komponen masih baik dan berjuang untuk membela nasib ekonomi dan sosial, dan meningkatkan perpaduan kaum,” kata Muhyiddin.
– Bernama
No comments:
Post a Comment