Wednesday, October 31, 2007

Pemuda saran bukan masa sesuai lobi pemilihan

Oleh Azman Zakaria



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan perwakilan perhimpunan agung parti minggu depan supaya tidak cuba mengambil kesempatan melobi, berkempen dan meraih sokongan bagi pemilihan parti akan datang.

Katanya, jika ada yang hendak mengambil kesempatan daripada kehadiran ramai perwakilan untuk mendapatkan sokongan, sebenarnya melakukan kesilapan kerana senario di peringkat bahagian dan akar umbi akan berubah berikutan ada muka baru selepas pilihan raya umum.


"Mungkin orang yang berkempen itu pun tak akan ada ketika pemilihan nanti. Nasihat saya tumpukan perjuangan parti kerana pemilihan jauh lagi kerana kita akan ada pilihan raya dulu," katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan F1 In Schools di sini, semalam.

Perhimpunan agung Umno 2007 akan diadakan dari 5 hingga 9 November ini.

Beliau juga berkata, sebahagian besar pemegang jawatan dalam Exco Pemuda Umno dan ketua Pemuda Bahagian tidak dapat memegang jawatan kerana melepasi umur 40 tahun pada pemilihan akan datang.


"Kira-kira 57 peratus akan melepasi had umur. Jika ada yang hendak mengambil kesempatan sebenarnya silap kerana selepas perhimpunan agung kita akan berdepan pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, tumpuan mesti diberikan kepada pilihan raya umum bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

"Jika kita menang dalam pemilihan parti pun tapi parti kalah pilihan raya, ia tak akan beri apa-apa makna kerana betapa tinggi jawatan yang kita pegang dalam parti yang tidak diiktiraf, dihormati dan disokong orang ramai," katanya.

No comments: