Najib ingatkan ahli Umno bekerjasama bantu pemimpin jayakan agenda parti
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli Umno supaya sentiasa bersedia untuk melakukan anjakan pemikiran selaras dengan gagasan Islam yang mewajibkan umatnya berbuat perubahan.
Timbalan Perdana Menteri berkata anjakan itu adalah bersesuaian dengan intipati perjuangan parti agar ia terus relevan dan diterima rakyat selain dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai tunjang kerajaan.
Dalam konteks ini, beliau memberi contoh mengenai perlunya pemimpin dan ahli parti menunaikan setiap janji yang dibuat agar rakyat tidak marah selain melaksanakan tanggungjawab dipikul dengan bersungguh-sungguh.
"Janganlah kita (ahli Umno) hanya tahu duduk minum kopi sehingga tiga atau empat jam, mengutuk setiap wakil rakyat. Kalau kita masih lakukan ini semua, maka kita tidak lagi mengamalkan perintah tuhan," katanya berucap pada jamuan makan malam Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama peringkat kebangsaan di sini, malam tadi. Program dua hari yang bermula semalam dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan.
Pada majlis itu, beliau turut meluluskan permohonan Jasa untuk menambah bilangan kakitangannya bagi ditempatkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata umat Islam di negara ini boleh berbangga kerana di bawah pentadbiran Umno, nasib mereka terus terbela dan maju.
"Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita dapat lihat perjuangan Umno untuk agama, bangsa dan negara berjaya membentuk keyakinan rakyat, sehinggakan perjuangan itu tidak dapat dipisahkan dengan parti," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, kejayaan Malaysia menghantar angkasawan dan pembelian kapal selam KD Tunku Abdul Rahman membuktikan kemampuan masyarakat Islam negara ini.
Sementara itu di Subang, Najib yang juga Menteri Pertahanan melahirkan penghargaan kepada pasukan pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menganggotai Kontinjen Malaysia (Malcon I) ke Lubnan, kerana berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Beliau ketika berucap pada majlis sambutan ketibaan 280 anggota Malcon I di Pangkalan Tentera Udara Malaysia berkata, dengan kecemerlangan yang diperoleh dapat memastikan ATM meneruskan tradisi untuk berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
No comments:
Post a Comment