BESUT 30 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut akan mendedahkan penyelewengan dan pembohongan yang dilakukan oleh Pas ketika memerintah Terengganu jika kepimpinan parti itu berterusan memburuk-burukkan UMNO kepada rakyat.
Ketuanya, Hasmadi Hassan berkata, fitnah dan tuduhan melulu yang sengaja dilemparkan kepada UMNO oleh Pas yang ketiadaan isu sejak akhir-akhir ini tidak akan dibiarkan berterusan.
Menurutnya, Pemuda UMNO sedar Pas yang kekeringan isu kini berhempas pulas untuk mengelakkan ahli dan penyokongnya meninggalkan parti itu yang sudah terpesong dari perjuangan asal mereka.
Menurutnya, bukti kegiatan Pas itu dapat dilihat apabila pemimpin mereka menjadikan beberapa surau dan markas parti di daerah ini sebagai tempat untuk mendirikan solat Jumaat.
“Ahli dan penyokong mereka diajak meninggalkan masjid yang didirikan kerajaan kononnya masjid ini haram untuk bersembahyang Jumaat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Pemuda UMNO Bahagian Besut di Medan Selera Bandar Jertih dekat sini semalam.
Hasmadi berkata, penyelewengan yang dilakukan ketika memerintah dan tindakan memburuk-burukkan parti lain oleh Pas sejak kalah pada pilihan raya lalu dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar bagi sebuah parti yang mendakwa mendaulatkan Islam.
Menurutnya, Pas sudah kembali kepada perangai lama dengan mengharamkan apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti yang berlaku pada era 1970an.
Ketika itu jelas Hasmadi, perpecahan di kalangan umat Islam berlaku kerana fatwa karut yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas bagi menegakkan perjuangan politik sempit dan bukannya untuk kemajuan agama, rakyat dan negara.
“Ahli dan penyokong Pas boleh menilai sendiri sejauh mana pemimpin mereka memperjuangkan nasib rakyat semasa memerintah Terengganu selama empat setengah tahun bermula tahun 1999.
“Bandingkan pula corak kehidupan pemimpin Pas yang kini hidup mewah tetapi sentiasa meminta ahli dan penyokong mereka berkorban harta benda untuk parti, ”jelasnya.
Lebih menyedihkan katanya, ada kalangan ahli dan penyokong Pas yang mendapat bantuan daripada kerajaan UMNO diracuni fikiran mereka kononnya bantuan tersebut haram dan tidak boleh diterima.
Katanya, rakyat tidak seharusnya ditipu dengan gelagat pemimpin Pas yang hanya mencari isu politik murahan dengan memburuk-burukkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, isu rekaan Pas akan bertambah lebih-lebih lagi pilihan raya umum semakin hampir yang menjadikan Pas gelisah untuk berdepan dengan kebenaran dan keikhlasan yang dibawakan oleh pemimpin UMNO.
No comments:
Post a Comment