Wednesday, October 31, 2007

Roboh surau, kuil Kg. Rimba Jaya arahan mahkamah

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meroboh kuil, surau dan beberapa rumah di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam hari ini adalah atas arahan mahkamah.

Katanya, beliau telah bercakap dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana tanah itu milik Kerajaan Persekutuan dan mahkamah telah memerintahkan agar mereka yang mendudukinya mengosongkan kawasan itu.

Malah, kerajaan turut bersedia menawarkan rumah kepada mereka yang terlibat tetapi ada yang berkeras dan tidak mahu berpindah ke tempat lain, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) di sini hari ini.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kekecohan yang timbul berikutan kerja-kerja merobohkan kuil di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam di sini.

MBSA memulakan kerja meroboh kira 200 rumah, surau dan kuil di kampung itu sejak pagi tadi, bagaimanapun pada pukul 3 petang timbul sedikit kekecohan.

Samy Vellu berkata, MBSA bukan sahaja merobohkan kuil di situ tetapi juga surau berikutan arahan mahkamah.

Bagaimanapun, pihak tertentu cuba menimbulkan ketegangan dengan menggunakan isu itu di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Noor berkata, operasi merobohkan kuil itu terpaksa ditangguhkan selama dua hari selepas mendapat tentangan daripada masyarakat tempatan.

Tindakan merobohkan kuil itu adalah sebahagian daripada operasi meroboh baki 308 unit rumah setinggan di kawasan terbabit.

Rumah setinggan itu sepatutnya dirobohkan pada 2005 tetapi gagal dilaksanakan berikutan tindakan penduduk terbabit memohon injunksi mahkamah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Oktober lalu menolak injunksi itu sekali gus membenarkan operasi merobohkan baki unit setinggan itu dijalankan.

Beliau menambah, pihaknya turut menyediakan tapak kuil baru bersebelahan dengan tapak setinggan itu.

Kekecohan memuncak sejurus Samy Vellu tiba di lokasi untuk berunding dengan penduduk apabila beliau dihambur dengan kata-kata kesat oleh penduduk berkenaan.

Berikutan itu, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan air pemedih mata ke arah kumpulan penduduk yang berkumpul di pekarangan kuil sambil mengarahkan mereka bersurai.

No comments: