Wednesday, October 31, 2007

Perhimpunan 10 November, satu sumbangan besar pada rakyat dan negara

Awang Harun
Wed | Oct 31, 07 | 6:38:42 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 31 Okt (Hrkh) – Pengerusi Jawatankuasa Isu PAS Negeri Terengganu, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS terutama pemuda di negeri ini untuk sama-sama menyertai perhimpunan anjuran Bersih pada 10 November ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, para peserta yang menghadiri perhimpunan aman yang bermula jam 2 petang itu, kemudian akan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau yang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, berkata semua pimpinan tertinggi PAS yang terdiri daripada Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Naib-naib Presiden; Setiausaha Agung; Ketua-ketua dewan dan para pemimpin PAS negeri akan hadir pada perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, tambahnya perhimpunan yang dianggarkan disertai 100,000 orang itu menuntut kehadiran rakyat bagi menjayakan tuntutan agar pilihan raya umum akan datang diadakan dalam suasana yang bersih dan adil.

"Rakyat patut sedar bahawa kewajipan mereka memberi sumbangan bagi menjayakan pilihan raya yang adil dan bersih dalam pilihan raya akan datang," ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS di sini, hari ini.

Menurutnya, menghadiri perhimpunan itu adalah satu kewajipan dan sumbangan besar kepada rakyat dan negara ini.

"Agama Islam menuntut supaya pemerintah berlaku adil dan menuntut kita sekalian mempunyai sikap adil dan saksama dalam melaksanakan sesuatu, selamat berhimpun," ujarnya. - mks.

No comments: