Wednesday, October 31, 2007

Tumpukan pencapaian, jaya Misi 2057

MELAKA: Perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno minggu depan tidak seharusnya hanya membahaskan masalah sampingan serta perkara yang boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan, sebaliknya menumpukan kepada pencapaian dan kejayaan Umno membela nasib rakyat serta usaha membantu menjayakan Misi 2057.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sebagai penyokong utama kerajaan, perwakilan diminta bersama-sama mengetengahkan kejayaan dan pandangan mereka melaksanakan Misi Nasional, Wawasan 2057 serta memperkukuhkan kekuatan parti menghadapi pilihan raya umum.

"Sudah tentu perbincangan kali ini akan mendapat liputan meluas dan rakyat juga akan tahu kejayaan kita. Apabila mereka dapat difahamkan, sudah tentu ia membantu kita menghadapi pilihan raya.


"Perkara yang boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan eloklah dielakkan," katanya selepas menghadiri jamuan raya Kelab Sukan dan Kebajikan Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Ismail Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Yaakub Md Amin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Md Yunos Husin.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perwakilan diminta tidak asyik mengeluh terhadap pencapaian dan nasib orang Melayu saja sedangkan mereka mempunyai peluang untuk sama-sama terbabit bagi membincangkan masalah itu.

No comments: