"Kerajaan tidak boleh menyiasat semua tuduhan tetapi saksi enggan tampil memberi bukti atau bersedia disoal siasat. Ini perbuatan sia-sia yang merugikan.
"Perdana Menteri sendiri sudah memberi jaminan pemberi maklumat akan dilindungi. Jadi, saya tidak tahu kenapa mereka yang berkenaan masih sangsi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat.
Nazri, yang tidak menang tangan melayan pelbagai persoalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), menyuarakan keyakinan kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika klip video itu terbukti sahih.
Mengenai keputusan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil tindakan terhadap penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 22(1)(b) dan 22(1)(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997, Nazri berkata ia hanya bertujuan membantu siasatan.
Katanya, kerajaan tidak mahu rakyat bertanggapan negatif bahawa pihak berkuasa enggan mengambil tindakan sedangkan mereka yang membuat dakwaan atau mengeksploitasi isu itu enggan membantu siasatan.
Beliau juga menafikan dakwaan Lim bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh membanteras rasuah kerana statistik membuktikan sebaliknya.
Jumlah kes yang disiasat BPR bertambah sekali ganda daripada 663 kes pada 2001 kepada 1,317 kes tahun lalu, manakala mereka yang ditahan meningkat 77 peratus daripada 318 pada 2001 kepada 546 tahun lalu.
"Pada hakikatnya, rekod ini membuktikan BPR bebas melaksanakan tugas secara telus dan terbuka tanpa perlu takut atau terhutang budi kepada sesiapa, tidak kira sama ada anggota kerajaan, ahli Parlimen atau orang awam," katanya.
Mengenai pelantikan ahli Umno dan penasihat undang-undang parti itu, Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Nazri berkata itu tidak bermakna kebebasan badan kehakiman terjejas.
Katanya, pelantikan itu memenuhi syarat Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan dan Zaki bukannya anggota parti aktif, sebaliknya hanya terbabit dalam mendengar kes disiplin membabitkan ahli.
Malah, Nazri berkata, beban yang digalas Zaki lebih berat kerana setiap gerak geri dan penghakimannya diperhati rapi oleh masyarakat umum berikutan hubungannya sebelum ini dengan Umno.
Terdahulu, Karpal mendakwa selaku bekas penasihat undang-undang Umno, Zaki mungkin berat sebelah dalam kes membabitkan kepentingan Umno atau kerajaan.
Lim pula mendakwa pelantikan Zaki adalah permulaan ke arah mewujudkan Ketua Hakim Umno pada masa depan.
No comments:
Post a Comment