Wednesday, October 31, 2007

UMNO serlah ketamadunan Islam

KUALA LUMPUR 30 Okt. – UMNO sebagai tampuk pemerintahan di negara ini berjaya menyerlahkan Islam sebagai sebuah agama yang amat mementingkan kegemilangan pembangunan tamadun serta ilmu pengetahuan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia terbukti apabila buat pertama kalinya Malaysia berjaya menghantar angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszpahar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa lepas pada 10 Oktober lalu.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan untuk membeli kapal selam jenis Scorpene dari Perancis juga membuktikan kepada dunia bahawa sebuah negara Islam mampu memilikinya.

‘‘Jangan kata ada pihak tertentu yang majukan Islam. Sebenarnya UMNO yang majukan Islam. Kita berjaya serlah Islam sebagai sebuah agama yang amat menumpukan kepada pembangunan sebuah tamadun dan ilmu.

‘‘Sebagai contoh, pemergian Dr. Sheikh Muszpahar ke angkasa lepas adalah untuk meneroka ilmu-ilmu baru terutama yang berkaitan dengan bidang angkasa. Bukankah Islam menggalakkan kita mempelajari ilmu-ilmu seperti ini?’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama Peringkat Kebangsaan 2007 di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Mohamed Amin Salih.

Najib berkata, UMNO juga tidak terlepas untuk meneruskan peranannya sebagai sebuah parti memajukan Islam dalam konteks ibadat-ibadat khusus.

‘‘Dalam kita memperjuangkan Islam dua perkara ini terus menjadi agenda perjuangan UMNO. Dalam kita merancakkan usaha membangunkan tamadun Islam kita tetap membina masjid-masjid baru untuk kemudahan umat Islam.

‘‘Kita mahu umat Islam di negara ini kuat dari segi fizikal dan rohani atau dalam erti kata lain sebagai mereka yang beriman. Inilah kategori umat yang dimaksudkan oleh Rasulullah,’’ katanya.

Beliau berkata, cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan j-QAF iaitu Jawi-al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain adalah sejajar dengan tuntutan Islam untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang mempunyai asas-asas iman dalam diri mereka.

No comments: