Wed | Oct 31, 07 | 5:31:12 pm MYT
KOTA BHARU, 31 Okt (Hrkh) - Teka teki tarikh pilihan raya pilihan raya umum ke-12 mulai berkocak kembali. Ramai berpendapat Perdana Menteri tidak mungkin membiarkan masalah yang membelenggu kepemimpinannya terus membarah.
Banyak pihak menelah sekiranya masalah dibiarkan berlarutan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mampu lagi membendungnya. Lebih-lebih lagi kenaikan harga minyak di pasaran global.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri tidak mungkin menggunakan duit Petronas dalam tempoh begitu lama untuk memberi subsidi ekoran peningkatan harga minyak sekarang.
"Tambahan pula timbul pelbagai konflik sekarang, isu video VK Lingam masih tidak selesai. Dan semalam timbul pula pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Dato’ Ramli Yusuff mengenai isu dalaman polis.
"Isu yang membabitkan tiga jabatan utama kerajaan iaitu polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Peguam Negara serta institusi kehakiman semakin berkecamuk.
"Oleh itu bagi mengelakkan isu tersebut terus berlarutan, pilihan raya mungkin diadakan dalam masa terdekat ini, kalau tidak November mungkin Disember," katanya pada persidangan media di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Ramli yang diheboh sebelum ini mempunyai aset sebanyak RM27 juta mendakwa disiasat BPR selepas pegawainya menyiasat Ah Long di seluruh negara terutamanya Johor.
Mengikut sumber lain, konflik di antara Ramli dengan pegawai kanan lain polis tercetus sebelum pelantikan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.
Ramli sebelum ini disebut-sebut sebagai calon mengisi jawatan tersebut memandangkan pengalamannya lebih luas.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai jalan selamat bagi mengatasi konflik yang berlaku sekarang Perdana Menteri dijangka mengadakan pilihan raya umum lebih awal bagi mendapat semula mandat rakyat.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan harga minyak akan dinaikkan sehingga 70 sen seliter selepas pilihan raya umum nanti kerana kerajaan tidak mampu lagi menanggung bebanan subsidi.
"Kalau pilihan raya diadakan tahun depan, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak duit untuk memberi subsidi minyak sedangkan duit Petronas perlu juga digunakan bagi pembangunan lain," ujarnya.
Sumber dalaman Umno pula mendedahkan kemungkinan parlimen akan dibubarkan pada 9 November ini, selepas selesai Perhimpunan Agung Umno yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 9 November ini.
Manakala pilihan raya pula dikatakan akan diadakan pada Disember.
"Apa yang jelas selepas mendapat mandat baru harga minyak akan dinaikan sehingga 70 sen seliter dan gas memasak naik antara RM2 hingga RM3 satu balang," kata Ibrahim Mamat, bekas anggota jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Kerian.
Menurutnya, Perdana Menteri mungkin tidak menghiraukan kira-kira 28,000 jemaah haji sedang menunaikan ibadat di Makkah bagi membolehkan pilihan raya diadakan pada Disember ini. - mj
No comments:
Post a Comment