Wednesday, October 31, 2007

Pembahas elak cetus isu perkauman

MELAKA: Jangan sekali-kali sentuh isu berbau perkauman, sebaliknya fokus kepada agenda Melayu, agenda nasional dan kandungan perbahasan perlu bernas dan berisi demi memperjuang dan memartabatkan kedudukan orang Melayu.

Itulah pesanan veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa kepada 2,522 perwakilan yang akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Perhimpunan Agung Umno 2007, minggu depan.

Aziz, 84, berkata, setiap pembahas perlu menyampaikan mesej secara halus tetapi sarat dengan makna, bukannya menggunakan pendekatan yang boleh mencetuskan rasa kurang senang kaum lain.


Beliau turut menyampaikan pesanan dalam bentuk pantun kepada perwakilan: "Dari Chemor pergi ke Dili; Di Pasar Seberang ayam berlaga; Umno tak boleh di jual beli; Bukan barangan untuk diniaga.

"Di Pasar Seberang ayam berlaga; Kepak terkapar patah tajinya; Umno Bukan barangan untuk diniaga; Kalau di cabar nyawa padahnya".

Beliau berkata, pantun itu membawa maksud bahawa kata-kata lebih tajam dan lebih kuat daripada sebarang gimik dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno jangan menggunakan gimik mencium keris Panca Warisan ketika perasmian Mesyuarat Agung Pemuda Umno seperti pada perhimpunan lalu.

"Jangan guna gimik cium keris kerana ia boleh mencetuskan isu perkauman. Kita nak jaga perpaduan dan keharmonian kaum yang telah kita pertahankan sepanjang 50 tahun negara merdeka," katanya.

No comments: