Wed | Oct 31, 07 | 4:45:46 pm MYT
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, membidas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Umno menyerlah dalam perjuangan membangunkan Islam.
Katanya, bagaimana Najib boleh mendabik dada sedemikian rupa kerana Umno sendiri menghadapi krisis moral yang cukup tinggi.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, ini termasuk dalam gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mana rakyat pun tahu apa yang mereka laku.
"Kalau itulah yang dikatakan model ia merupakan model yang paling teruk dalam sejarah Islam," katanya.
Semalam ketika berucap di majlis makan malam Multaqa Pengerusi-pengerusi Biro Agama Umno Peringkat Kebangsaan 2007 di sini Najib dipetik berkata, soal perjuangan untuk agama bukan saja tidak dapat dipisahkan dengan Umno, tetapi Umno benar-benar menyerlah dalam perjuangan untuk membangunkan Islam dalam negara.
Najib juga berkata, umat Islam sekarang bukan saja dapat menjalankan ibadat dengan penuh keselesaan tetapi kepentingan mereka juga sentiasa dibela oleh Umno.
Malah kata, Timbalan Presiden Umno di bawah pimpinan sekarang platform agama Islam tidak lagi dimiliki oleh parti PAS atau mana-mana kumpulan lain kerana umat Islam dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai di bawah pentadbiran Umno.
Bagaimanapun Nasharuddin berkata, Islam bukan hanya sekadar ibadah seperti berada dalam masjid ataupun mengerjakan haji tetapi merangkumi satu sistem iaitu sistem syariah yang mempunyai peraturan dan perundangannya.
Katanya, antara sistem nilai Islam itu adalah hal-hal yang berkaitan dengan moral.
"Kita tidak nampak hal itu dalam Umno malah kepimpinan Umno yang ada sekarang ini semakin meningkat terlibat dengan rasuah dan boleh dikatakan berada di tahap yang cukup maksimum," katanya.
Katanya, penjelasan Najib itu menunjukkan kepimpinan mahu menutup kelemahan yang ada pada mereka dan cuba menimbulkan sesuatu tidak berasas kepada fakta.
"Rakyat boleh lihat bahawa Islam itu tidak dapat dikaitkan dengan Umno dan Umno tidak dapat dikaitkan dengan Islam," dakwanya.
Tambahan pula katanya, ini disebabkan jauh dari segi dasar, perilaku dan yang paling penting pemimpin dalam Umno gagal menangani banyak isu yang berkaitan dengan Islam khasnya di negara ini seperti kes-kes murtad.
"Kita lihat kes-kes yang melibatkan jenayah syariah dan isu-isu itu masih banyak yang tidak dapat dibela Umno sedangkan Umno sudah memerintah 50 tahun," katanya. - mks
No comments:
Post a Comment