Wednesday, October 31, 2007

Ucapan dasar fokus pilihan raya

BANGKOK: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau menjangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyentuh mengenai persiapan pilihan raya umum dalam ucapan Perdana Menteri selaku Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu, bulan depan.

Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno, berkata Abdullah dijangka memberi penekanan kepada pentingnya semua komponen Barisan Nasional (BN) mengeratkan kerjasama sedia ada bagi menimbulkan 'mood' yang sesuai supaya BN mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pilihan raya umum nanti.

"Sudah pasti ucapan dasar presiden akan menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya kerana kepemimpinan parti sudah mengingatkan semua ahli mengenai hal ini sejak tahun lalu,� katanya selepas melawat Royal Citralada Projects di Istana Chitralada, di sini semalam.


Muhyiddin berkata, Abdullah juga dijangka mengingatkan semua anggota Umno mengeratkan kerjasama dengan parti komponen, menyemak pendaftaran pemilih, menangani masalah yang berbangkit dan mengotakan janji pilihan raya lalu yang belum disempurnakan.

Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tidak menyiarkan secara langsung perhimpunan itu dari 5 hingga 9 November ini, beliau berkata, media massa masih boleh melaporkan perbahasan sepanjang perhimpunan itu yang dijangka dihadiri lebih 2,500 anggota perwakilan daripada 190 bahagian Umno.

Beliau berkata, walaupun tidak ada arahan untuk menyekat topik perbahasan, kepemimpinan Umno tidak mahu perhimpunan itu dijadikan tempat untuk membidas kaum lain.

"Satu perkara asas ialah jangan membuat tuduhan sembarangan yang boleh menyebabkan pandangan bahawa Umno dan orang Melayu tidak terbuka atau tidak mengambil kira sensitiviti bangsa lain," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, apabila seseorang pembahas membangkitkan nasib orang Melayu, perbandingan dengan kaum lain tidak dapat dielakkan tetapi ia hendaklah dibuat secara rasional dan berniat baik. � Bernama

No comments: