Sunday, November 04, 2007

Muafakat teras ucapan

Oleh Ziauddin Sharuddin dan Abdul Razak Raaff


DIIKTIRAF: Muhyiddin menyampaikan anugerah cemerlang ahli kepada Dr Alfida Sohana Awang Soh, sambil disaksikan Shafie di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Umno dijangka beri penekanan kerjasama semua kaum

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menekankan pentingnya permuafakatan antara kaum bagi semua sektor terutama ekonomi dan pendidikan serta kesungguhan mengekalkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum akan datang dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata sejak kebelakangan ini, banyak pihak membangkitkan dan mempertikaikan beberapa perkara yang dianggap sensitif seperti isu agama, kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.


"Mungkin ada saranan supaya diwujud dan ditingkatkan usaha muafakat antara kaum, tetapi tidak semestinya secara formal dan bukan dalam bentuk dialog nasional, tetapi disertai pelbagai pihak untuk meningkatkan kesefahaman antara kaum di negara," katanya.

Beliau yang mewakili Abdullah berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara, di sini semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Draf Usul Perbahasan berkata, antara inti pati ucapan dasar Presiden Umno yang lain ialah aspek perpaduan nasional selain mengimbau kejayaan selepas 50 tahun kemerdekaan, sejarah perjuangan bangsa pimpinan terdahulu, sumbangan ahli parti dan lapisan masyarakat untuk mencapai kecemerlangan.


Selain itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata nada Perhimpunan Agung Umno turut mencerminkan pemikiran parti yang menjadi teras Barisan Nasional (BN) yang mementingkan hubungan baik antara kaum.

No comments: