Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
Menteri Besar Kelantan tak boleh tunjuk bukti kerana tawaran dibuat secara lisan
KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku ditawarkan jutaan ringgit oleh seorang tauke balak yang mahu mendapatkan konsesi kawasan pembalakan di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, ganjaran itu ditawarkan kepadanya oleh lelaki terbabit, ketika beliau baru menduduki jawatan berkenaan kira-kira 16 tahun lalu.
"Hari pertama jadi Menteri Besar, seorang tauke datang minta balak dan sanggup bayar wang berjuta kepada saya. Kalau saya beri lagi (tambah), dia akan bayar lagi.
"Ketika itu, saya pegang janggut dan serban saya sambil berkata, mu kenal janggut aku, akhirnya dia lari (pergi)," katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan mengambil keterangannya berhubung pengakuannya mendakwa pernah ditawarkan rasuah jutaan ringgit sepanjang mentadbir Kelantan sejak 16 tahun lalu.
Kelmarin, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, dilaporkan sudah mengarahkan Pengarah BPR Kelantan, Md Yusoff Md Zain, untuk menyiasat dakwaan itu yang disiarkan dalam Berita Harian pada Isnin lalu.
BPR dijangka menemui Nik Abdul Aziz minggu depan untuk mengambil keterangan, termasuk sama ada pernah membuat laporan mengenai perkara itu kepada BPR kerana kegagalan berbuat demikian, adalah menyalahi Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Nik Abdul Aziz tidak menjelaskan sama ada tauke balak terbabit memperoleh sebarang kelulusan konsesi pembalakan di negeri ini sepanjang pentadbirannya selepas kejadian terbabit.
Beliau turut menyifatkan tidak perlu lagi membuat laporan kepada BPR berhubung tawaran rasuah itu ketika ini kerana kejadian terbabit sudah lama berlaku.
"Tak payah lapor, sudah 16 tahun (lama sangat), orang itu mati atau hidup lagi, saya tak tahu," katanya.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang bukti lain bagi mengesahkan tawaran tauke balak itu kerana janji ganjaran wang berjuta terbabit dibuat secara lisan dalam pertemuan berkenaan.
"Bukti apa? dia nak beri, itu saja buktinya. Kalau tok guru bagi kawasan ni (balak) kepada saya, saya beri tok guru sekian-kian juta, itulah buktinya," katanya.
Namun, Nik Abdul Aziz berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada BPR untuk menyelesaikan perkara itu sama ada dipanggil ke pejabat badan itu atau ditemui pegawainya.
"Saya akan pergi apabila dipanggil BPR, mengapa pula tidak pergi. Kalau dia (BPR) datang ke bilik saya, itu lagi baik," katanya.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mencabar Umno Kelantan jika mempunyai sebarang bukti rasuah dalam pentadbirannya, supaya menyerahkan bukti kepada BPR dan bukannya sekadar menyebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment